"Formula Pekan" dari datuk seri najib tun razak

PEKAN, 26 Ogos - Kekalahan memalukan BN di kerusi DUN Permatang Pasir Pulau Pinang semalam, jelas sekali menjatuhkan reputasi dan maruah Perdana Menteri Najib Razak. Beliau yang sebelum ini mendabik dada, kononnya rakyat sudah mula celik mata untuk melihat segala jasa dan pengorbanan UMNO BN terhadap pembangunan di negara ini. Ia berkaitan kejayaan BN mengurangkan majoriti undi yang diperolehi oleh parti PAS dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai sebelum ini. Namun, panas yang disangka hingga ke petang itu akhirnya hujan di tengahari. Kekalahan BN di Permatang Pasir merupakan tamparan hebat buat Najib dan puak-puak UMNO BN sebenarnya. Mereka boleh mendabik dada kononnya berjaya mengurangkan majoriti undi PAS. Namun, hakikatnya pilihanraya kecil tidak boleh disamakan dengan pilihanraya umum sebenarnya. BN menurunkan segala kelengkapan dan senjata mereka untuk memastikan calonnya menang. Itu belum termasuk lagi dengan janji-janji projek pembangunan dan wang ringgit yang ditaburkan kepada para pengundi. Inilah yang dikatakan "manusia merancang, namun perancangan Allah jua yang terbaik". Akhirnya mereka kecundang jua dek kesombongan dan kedangkalan diri mereka sendiri. Biarpun SPR dilihat cuba digunakan sepenuhnya oleh puak-puak UMNO BN bagi memastikan kemenangan mereka, namun rakyat lebih bijak untuk menilai siapakah sebenarnya yang berhak dipilih mereka.

Kini, Najib Razak sudah pasti tidak dapat "tidur lena" untuk berhadapan dengan media arus perdana yang menjadi "talibarut" mereka selama ini. Dakyah dan propaganda yang dibuat oleh media itu jelas sekali membosankan rakyat. Akhirnya BN dihukum dek kealpaan sendiri. Mereka langsung tidak mahu mengambil iktibar dari kesilapan lalu. Strategi yang sama digunakan bagi menarik pengundi menyokong mereka. Retorik yang sama digunakan bagi memesongkan minda pengundi agar melihat hanya BN sahaja parti yang boleh mentadbir dan membangunkan negara ini. Kekalahan ini jelas sekali menggagalkan "Formula Pekan" ciptaan Najib sebenarnya. beliau yang sebelum ini mendabik dada kononnya kejayaan mendapat undi yang besar di kawasannya parlimen Pekan dek kerana formula yang digunakan. Walhal, seluruh rakyat tahu bahawa kemenangan besar Najib di Pekan adalah kerana ehsan dan kerjasama jahat yang dibuat antaranya dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri. Apa tidaknya, selaku Menteri Pertahanan ketika itu Najib mengarahkan SPR membuat persempadanan semula kawasan parlimennya dengan mewujudkan satu kerusi DUN baru yang dikenali sebagai Pulau Manis. Maka, menerusi DUN baru itulah SPR memasukkan Kem Tentera Batu 10 Kuantan ke dalam DUN tersebut dalam parlimen Pekan. Walhal kem tentera itu terletak dalam Parlimen Paya Besar dan berada dalam Daerah Kuantan. Sesuatu yang tidak masuk dek akal semua ini. Akhirnya Najib berjaya mendapat undi Pos percuma daripada lebih 10,000 angkatan tentera yang bakal menetap di kem tersebut nanti.

Melihat kepada situasi semasa, Najib juga agak risau dengan undi Pos kem Tentera Batu 10. Tambahan pula beliau melihat arus perubahan semakin mendadak sekarang ini. Ditambah lagi dengan kehilangan majoriti undi di Kem Tentera Laut Tg.Gelang dalam Parlimen Indera Mahkota yang menyebabkan calon PKR, Azan Ismail menang dengan majoriti melebihi seribu undi. Maka jalan terbaik Najib membuat formula baru di Pekan dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang. Antaranya ialah dengan mweujudkan Pengakalan Maritim di Tanjung Agas, Kem Tentera di Sg.Miang dan satu lagi membina penempatan misteri bagi menempatkan beribu-ribu rakyat asing di kawasan berdekatan Sg.Miang itu sendiri. "Formula Pekan" yang digunakan oleh Najib adalah sinambungan daripada konsep "One Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sebenarnya. Memang cukup mengejutkan bilamana hasil tinjauan kami terdapatnya semua "Kem Perkampungan" pendatang haram yang dibina di kawasan Sg.Miang. Tinjauan PDO bersama Krew Suara Keadilan, mendapati sememangnya pemimpin UMNO itu khianat kepada rakyat. Bukan sahaja kepada pembangkang malah kepada penyokong UMNO sendiri. Ini berikutan langkah beliau memberikan berhektar-hektar tanah kepada warga asing yang kononnya datang dari utara semenanjung. Bukan sahaja tanah seluas satu ekar diberikan secara percuma, malah beliau juga turut bermurah hati menyediakan skim perumahan kepada mereka terbabit. Ikuti pendedahan eksklusif isu ini dalam keluaran terkini akhbar alternatif Suara Keadilan di pasaran sekarang. Anda boleh tengok sendiri betapa prihatinnya Najib membela rakyat asing dalam satu kawasan untuk tujuan memenangkannya dalam pilihanraya umum akan datang. Inilah strategi "Formula Pekan" yang cukup mengejutkan kita sejak dulu, kini dan buat selamanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...