Tongkat dan Melayu


OPINION  |  MOHSIN ABDULLAH
Kita gunakan tongkat apabila kita dalam keadaan lemah. Sukar berdiri. Tentunya ketika sakit kaki dan sukar berjalan. Apatah lagi berlari. Jika kita kehilangan kaki memanglah tongkat diperlukan. Itu tongkat secara literal.
Bila kerajaan memberi bantuan khususnya untuk ekonomi orang Melayu istilah tongkat kerap digunakan. Antara rupa bentuk tongkat yang dimaksudkan biasiswa, sistem kuota, peluang pendidikan serta pekerjaan, pinjaman dan macam macam lagi, yang disenaraikan sebagai keistimewaan khas atau special privileges untuk orang Melayu.
Tongkat itu mula diberi oleh kerajaan BN dulu yang Umno menjadi tunggaknya. Kerajaan Pakatan Harapan nampaknya meneruskan dasar itu. Tongkat masih ada.
Namun baru baru ini perdana menteri mengingatkan orang Melayu akan tiba harinya kelak tongkat tidak akan wujud. Hakikatnya tongkat tidak boleh kekal untuk selama lamanya. Lalu Dr Mahathir Mohmad mahu orang Melayu bersedia dan berusaha keras untuk bergerak maju tanpa tongkat.
Tongkat tidak dinafikan banyak membantu orang Melayu yang memerlukan. Tidak dinafikan juga ada orang Melayu yang terlalu bergantung kepada tongkat sehingga ia disalahhggunakan dan membawa kesan buruk. Tidak dinafikan juga bukan semua orang Melayu yang dapat tongkat.
Hakikatnya tongkat juga ada melekatkan elemen negatif ke atas orang Melayu. Contoh, apabila orang Melayu naik pangkat persepsi umum khususnya di kalangan orang bukan Melayu ialah si polan si polan itu naik kerana dia orang Melayu. Jika si polan si polan berjaya dalam perniagaan kononnya sebab dia orang Melayu, bukan sebab dia bijak.
Memang ada yang berjaya atau naik pangkat semata-mata kerana dia orang Melayu. Tetapi ada juga Melayu yang berjaya kerana mereka memang layak berjaya, kerana kebolehan dan kemampuan. Malangnya kelayakan mereka tidak diiktiraf. Sebaliknya dituduh berjaya kerana semata-mata orang Melayu.
Bercakap secara peribadi, rasa ramai yang setuju, jika saya dinaikkan pangkat saya ingin percaya saya dinaikkan oleh bos kerana saya benar benar layak dan bukannya kerana saya orang Melayu.
Saya pernah menulis mengenai topik ini pada tahun 2016 untuk siaran akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily. Antara komen yang diterima daripada orang Melayu sendiri ialah Melayu mesti berani bersaing dengan semua bangsa untuk memperbetulkan keadaan – jika tidak Melayu tidak akan maju.
Dan ada juga orang Melayu yang memberi pandangan bahawa “mindset “ Melayu ialah berlagak bagai tuan yang gemar tongkat dan tanpa tongkat semuanya tidak akan bergerak walaupun realitinya keadaan boleh bergerak.
Presiden Melayu
Berbalik kepada kisah Umno. Ketika memerintah Malaysia parti itu tidak pernah lupa untuk mengingatkan orang Melayu jika mereka tidak beri tongkat orang Melayu akan susah dan jadi hamba di tanah air sendiri.
Dan untuk “memperkukuhkan” hujah, Umno gemar menggunakan Melayu Singapura untuk memomokkan Melayu Malaysia.
Melayu Singapura mereka gambarkan sebagai golongan tertindas. Tujuannya kita semua tahu, jadi tak perlulah dibincangkan.
Maka persoalannya ialah adakah benar Melayu Singapura tertindas dan ditindas?
Saya tidak boleh nyatakan secara pasti. Jawapan sebenar mungkin hanya boleh diperoleh menerusi siasatan dan kajian mendalam. Itu pun apa pun hasilnya akan dipertikai pelbagai pihak.
Tapi hakikatnya memang ada rasa ketidakkepuasan hati. Umpamanya saya ada baca laporan mengenai permintaan orang Melayu Singapura supaya mereka menerima kesaksamaan dalam semua sektor angkatan bersenjata Singapura. Ini seolah olah mencermin ada rasa tidak yakin atau percaya pemerintah terhadap orang Melayu.
Ada juga saya baca akan laungan peluang pekerjaan penuh untuk wanita Melayu termasuk yang bertudung –mendesak layanan dan peluang sama rata.
Ketika “meneliti” keadaan itu perdana menteri Singapura Lee Hsien Loong pada tahun 2016 mengumumkan di parlimen pilihanraya. presiden Singapura yang dijadualkan tahun berikutnya iaitu 2017 akan dikhaskan untuk calon di kalangan orang Melayu. A reserved election katanya.
Maknanya hanya orang Melayu boleh bertanding. Tentulah Melayu yang berkelayakkan. Pertandingan khas untuk Melayu. Ini untuk memastikan orang Melayu akan menjadi presiden Singapura setelah 46 tahun berlalu sejak allahyarham Yusof Ishak memegang jawatan berkenaan.
Dalam erti kata lain jawatan presiden Singapura akan dihadiahkan kepada orang Melayu.
Bagaimanapun ini antara reaksi Melayu Singapura terhadap hadiah kerajaan kepada mereka ketika itu.
Bekas wartawan Straits Times Singapura Ismail Kassim menulis di laman Facebooknya:
“Terima kasih PM atas hadiah yang tidak diminta. Kami tidak mahu dan tidak perlukannya. Tidakkah kamu sedar hadiah itu hanya mengukuhkan imej negatif ke atas kami dan menjejaskan kemajuan yang kami telah jalin.”
Bagi Ismail, pilihan raya khusus untuk Melayu adalah langkah ke belakang dalam kepelbagaian masyarakat, meritokrasi dan demokrasi”.
Di samping komen Ismail, satu artikel di akhbar Straits Times Singapura ditulis warga republik itu bernama Nizam Idris menarik perhatian saya.
Momok Melayu Singapura
Saya kemudian mendapat tahu Nizam ialah seorang ahli ekonomi dan ketua strategi pasaran di sebuah bank antarabangsa berpusat di Singapura.
Kata Nizam beliau dibesarkan pada era “kami orang Melayu diajar untuk menjagai diri sendiri di sekolah dan dalam kerjaya seperti rakyat Singapura yang lain.”
Katanya pada mulanya memang ada rasa bimbang bersaing kerana melihat orang Melayu di beberapa negara di rantau ini yang bergantung kepada dasar ras untuk maju. Tetapi “kami keluar daripada sejarah bergantung harap terhadap tongkat”.
Dan itu kata Nizam menjadi sumber kebanggaan dan motivasi buat masyarakat Melayu yang membuktikan “kami boleh berdiri di atas kaki sendiri”.
Bagi Nizam itu semua adalah hasil tindakan berani pemimpin terdahulu yang “membuat kami bersaing di atas pentas sama rata”.
Pun begitu dalam konteks pilihan raya presiden, Nizam mengakui ramai orang Melayu yang tidak boleh menolak hadiah demi memastikan ada di kalangan mereka dipilih sebagai presiden Singapura .
Itu sememangnya sifat manusia tetapi katanya lebih memuaskan jika seorang presiden Melayu dipilih berdasarkan kemampuan dan kebolehan bukan berdasarkan apa bangsanya.
Perlu diingat dan ulangi pandangan berkenaan dibuat sebelum “all Malay election" diadakan pada tahun 2017. Seperti kita tahu Halimah Yaacob menjadi presiden Singapura kelapan setelah muncul calon tunggal yang menerima sijil layak bertanding.
Walaupun pandangan awal, Halimah dilihat menjalankan tugas dengan baik dan kini dihormati ramai.
Kesimpulan hujah Ismail dan Nizam ialah Melayu Singapura mahu berjaya tanpa jalan pintas, tanpa jalan senang, tanpa tongkat.
Di Malaysia ,walaupun Umno sudah hilang kuasa, Melayu Singapura akan terus dijadikan bahan momokan. Dan tongkat akan banyak diperkatakan.

MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Naratif Melayu dalam Malaysia Baru

Perlu diakui bahawa selepas PRU14, perubahan yang berlaku bukan sekadar dalam arena politik, tetapi suatu gelombang besar namun senyap sedang bergerak.
Keresahan terhadap masa depan orang Melayu dan Islam mula kedengaran dan semakin meluas.
Dalam era Malaysia Baru yang dikatakan berasaskan demokrasi, progresif, dan inklusif ini ia mempunyai tafsiran yang pelbagai.
Setiap kelompok cuba memaknakan istilah tersebut berdasarkan kecenderungan pegangan politik dan indentiti masing-masing.
Awalnya selepas PRU14, perubahan itu bersifat politik namun kini telah sifatnya berkembang menjadi lebih daripada sekadar perebutan kuasa.
Ia membentuk stigma antara kaum di negara yang semakin menjurang. Ini sekali gus boleh merosakkan pembinaan negara bangsa.
Kecenderungan perubahan ini bermula secara jelas sejak era reformasi tetapi gerakan tersebut tidak berupaya membuat perubahan besar dalam negara.
Jadi bualan merata-rata
Meskipun Anwar Ibrahim masuk penjara dua kali dan kerajaan BN dilanda pelbagai masalah, tiada kesan politik yang boleh mengubah keadaan.
Sebaliknya kemunculan semula Mahathir Mohamad sebelum PRU14 menjadikan suasana politik tanah air mengalami kejutan, dan diterjemahkan dengan keputusan rakyat untuk menukar parti pemerintah buat kali pertama sejak enam dekad lalu.
Sama ada Anwar, Mahathir atau sesiapa sahaja, strategi politik dalam memahami sosiobudaya masyarakat adalah sangat penting. Ini adalah soal budaya.
Salah satu stigma yang muncul dalam naratif Melayu pada era Malaysia Baru ialah masyarakat itu terancam. Sama ada benar atau tidak, itu bukan persoalannya, tapi naratif "Melayu terancam" menjadi wacana umum di merata-rata tempat.
Kejatuhan parti Melayu - Umno dan PAS - dalam PRU14 dianggap kejatuhan politik orang Melayu.
Meskipun Mahathir mengetuai kerajaan dan ada parti serpihan Umno - iaitu Bersatu - situasi tersebut masih tidak cukup kuat untuk menggantikan ikon kuasa politik Melayu baru.
Amanah pula masih tercari-cari hala tuju dan identiti parti selepas PAS kian mengukuhkan kedudukannya di kawasan majoriti Melayu dan Pantai Timur.
PKR pula sedang bergelut membina kekuatan sedangkan DAP menjadi parti yang mendapat banyak faedah jika mereka bertindak lebih matang dan wajar.
Selalu diulang-ulang
Pandangan Mahathir yang kritis tentang Melayu bertitik tolak daripada pengalamannya sebagai perdana menteri dan anggota Umno.
Pandangan itu adalah kerana beliau mahu membantu orang Melayu maju dan berdaya saing dengan bangsa lain. Bahkan sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi, Mahathir berpendirian begitu.
Mahathir menyebut bahawa Melayu itu malas, cepat berpuas hati, inferiority complex, tidak mahu bersaing, kurang daya tahan, enggan susah, kurang berusaha dan sebagainya selalu diulang-ulang. Begitu juga halnya dengan naratif Melayu yang perlu bertongkat.
Apakah perbezaan Melayu dalam pemikiran Mahathir dengan pemikiran Frank Swettenham serta Abdullah Munsyi? Ada persamaan dalam perbezaan.
Pemikiran ini wujud di bawah pengaruh penjajah dan bersifat sinikal. Pandangan itu bertitik tolak untuk memperkecilkan keupayaan orang Melayu.
Naratif ini ditanam oleh pihak kolonial bagi membentuk pemikiran kebergantungan kepada pihak berkuasa agar ia memudahkan penjajah menguruskan orang tempatan.
Hasrat Mahathir untuk memajukan orang Melayu ialah dengan membuang 'tongkat' yang selama ini digunakan mereka.
Mahathir percaya tongkat ini sudah menjadi puaka dan menghalang orang Melayu daripada meningkat maju.
Pada masa sama langkah ini diambil kesempatan oleh pihak lain secara tidak adil. Bagi orang Melayu yang konservatif, tongkat adalah simbol.
Harmoni, matang dan terbuka
'Tongkat' yang membantu Melayu selama ini dianggap sebagai sebahagian simbol kewujudan bangsa. Tanggapan ini lahir daripada pendekatan kerajaan dan mentaliti masyarakat Malaysia selama ini.
Sebarang langkah membuang atau sekadar cuba mengurangkan tongkat dianggap orang Melayu sebagai agenda mencabar kewujudan dan simbol bangsa.
Keghairahan membuat perubahan sehingga menganggu-gugat tongkat sebenarnya meresahkan orang Melayu konservatif. Itu langkah provokasi.
Sebagai tindak balasnya, Melayu konservatif bertindak secara provokasi juga.
Lalu naratif Melayu dan kaum lain dalam Malaysia Baru tidak keluar dari kepompong perkauman dan saling mengancam.
Naratif hidup bermasyarakat yang harmoni, matang dan terbuka mula terhakis dengan ketara.
Kelompok Melayu yang merdeka jiwanya tidak terikat dengan kebergantungan kepada pemimpin. Mereka tidak memerlukan 'tongkat'.
Mereka juga tidak mengerumuni pemimpin politik seumpama semut menghurung gula. Tapi Melayu jenis sebaliknyalah yang dilahirkan oleh Umno sejak berdekad-dekad lamanya.
Kelompok Melayu ini minoriti tetapi kewujudannya sangat signifikan dan menjadi budaya yang berakar umbi dari tradisi Melayu sejati, pejuang dan pengembara alam.
Malangnya Melayu kategori ini tidak berada pada arus perdana. Keberadaan mereka sebagai seorang Melayu yang berjaya tidak terserlah lantaran cara hidupnya dipayungi dengan kesederhanaan.
Pemaknaan "kekayaan" dalam pemikiran Melayu terjajah cuma dalam kerangka material, sekular dan barat. Kekayaan ini diukur pada skala kebendaan.
Berkasih sayang, saling membantu
Inilah yang terkandung dalam buku Revolusi Mental dan Malay Dilemma. Sedangkan pemaknaan kekayaan dalam minda orang Melayu merdeka adalah lebih luas.
Inilah kegagalan sesetengah pemimpin Melayu hari ini. Mereka tidak dapat memahami maksud "kekayaan" dalam pemikiran orang Melayu sejati. Orang Melayu tidak gemar mempamerkan kekayaan mereka.
Inilah juga sebenarnya sifat orang timur yang merendah diri dan sederhana.
Cara dan gaya orang Melayu berfikir berubah dengan proses penjajahan, pemodenan dan globalisasi yang hampir tercabut dari akar umbinya.
Tapi sememangnya pemikiran apa bangsa pun akan mengalami perubahan dari semasa ke semasa.
Perubahan itu mempunyai kaitan yang penting dengan kelangsungan atau kepupusan sesuatu bangsa. Perubahan yang baik adalah kekal pada akar yang sama tetapi puncaknya menjalar ke langit tinggi.
Amalan bergotong-royong dalam kalangan masyarakat Melayu adalah salah satu contoh budaya kesepakatan dalam masyarakat. Amalan ini lahir daripada sifat Melayu yang ringan tangan, berkasih-sayang dan kekitaan.
Malangnya sifat sepakat orang Melayu ini tidak menjadi dalam bidang perekonomian dan perniagaan.
Tidak seperti kaum Tionghua yang lebih memperlihatkan kesepakatan dan kebergantungan mereka dalam soal perniagaan dan identiti.
Budaya Melayu hidupnya saling bergantungan. Bukan kerana lemah tetapi kerana kuatnya rasa bermasyarakat dan bernegara. Budaya Melayu adalah kasih sayang, terbuka dan saling membantu.

Atas nilai hidup orang Melayu yang sedemikianlah negara bangsa bernama Malaysia ini wujud. Melayu sanggup berkorban, berkongsi tanah dengan kaum-kaum lain yang bersetuju dengan kontrak sosial yang disepakati bersama.
Inilah kemuncak persefahaman yang tertinggi antara kaum di negara kita.

DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...