asal usul ISIS

November 16, 2014 "ICH" - "The Independent"- The Islamic State (Isis) has recruited an army hundreds of thousands strong, far larger than previous estimates by the CIA, according to a senior Kurdish leader. He said the ability of Isis to attack on many widely separated fronts in Iraq and Syria at the same time shows that the number of militant fighters is at least 200,000, seven or eight times bigger than foreign in intelligence estimates of up to 31,500 men.

Dari mana agaknya perlu saya mulakan surah ini? Dari detik mana wajib saya jadikan patukan kelahiran ISIS? Saya bertanya kerana saya ingin berlaku adil ketika kita bersama-sama membaca salasilah dan memahami ISIS.

Kepada anak-anak muda biar saya nyatakan bahawa pada 9 November 2011 dua bangunan World Trade Center di New York telah meledak dilanggar oleh kapal terbang penumpang. Juga Bangunan 7 dengan tak semena-mena telah runtuh. Ini 12 tahun dahulu. Semenjak itu dunia yang kita diami ini telah berubah. Dunia hari ini bukan seperti dunia sebelum ledakan WTC.

Biar saya rungkai sejarah. Ketika ledakan 9/11 berlaku saya dikurung di Kamunting. Justeru, tidak banyak lambakan berita yang masuk. Tetapi saya masih ingat bagaimana pada minggu pertama setelah 9/11 ada muncul 'kisah' agen Saddam Hussein bertemu dengan wakil Mohamed Atta di Praque. Muhamad Atta dikatakan daripada kumpulan Al-Qaeda. Si Atta ini juga pemimpin 19 'pengganas' yang dikatakan telah meledakkan WTC.

Begitu pantas risikan Amerika telah mengetahui rancangan Al-Qaeda. Malah maklumat ini dikatakan telah diketahui lima bulan sebelum ledakan. Tetapi, hairan bin takjub, tidak ada apa-apa yang dilakukan.

Akhirnya pada 19 Mac 2003 Iraq telah diserang oleh Amerika atas tuduhan Saddan Hussein memiliki senjata pemusnah atau weapon of mass destruction. Tetiba kesah Saddam bersubahat dengan Al-Qaeda meledakkan WTC hilang ghaib begitu sahaja.

Saya mengulangi kesah ini kerana saya merasa terpanggil oleh sejarah untuk merakamkan apa yang telah berlaku satu dekad yang lalu. Iraq dan Saddam Hussein tewas. Presiden Iraq ini digantung mati. Tetapi perang tidak mengendur tapi berterusan dan hari ini semakin melebar.

Setelah Baghdad jatuh ,yang datang menjadi wakil Rumah Putih di Baghdad ialah seorang diplomat bernama Paul Bremer. Langkah pertama mamat Bremer ini telah meruntun dan memusnahkan apa sahaja lembaga-lembaga daulah dari kerajaan Saddam. Pegawai kerajaan, guru sekolah, pensyarah, pemandu, wartawan semua dibuang kerja.

Paling memeranjatkan dunia ialah apabila semua askar, soldadu dan pegawai polis Irag dilucutkan senjata. Beratus ribu hilang pekerjaan.

Mengikut lojik Bremer, semua ini dilakukan untuk memastikan semangat dan kesetiaan terhadap nasionalis Saddam dan parti Baath dapat dilupuskan.

Maka perang gerila anti-Amerika dan antikolonial bermula. Perang gerila ini ini dipandu dan dipimpin oleh bekas soldadu dan tentera yang masih setia dengan Saddam. Mereka terdiri dari pelbagai jalur termasuk kaum nasionalis, kaum agamawan juga dari kabilah-kabilah suku Badwi yang memiliki kesetiaan kepada ketua kabilah.

Perang gerila ini menghuru harakan Rumah Putih. Ramai soldadu Amerika dan sekutunya gugur. Langkah Bremer melupuskan tentera Saddam dilihat sebagai satu kesilapan besar. Maka satu taktik baru dimunculkan.

Seperti kuasa kolonial British ketika menjajah Tanah Melayu dan berhadapan dengan Perang Gerila Rakyat Malaya, Amerika juga menggunakan taktik 'pecah perintah'. Kalau di Tanah Melayu, kaum Cina dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan Melayu. Di Tanah Melayu, Cina dan Melayu digaduh-gaduhkan. Di Iraq, penganut Sunni dan Syiah digaduh-gaduhkan.

Satu malam yang gelap agen Amerika secara sulit telah meledakan masjid Sunni. Satu minggu kemudian agen yang sama telah meledakkan masjid Syiah. Pemimpin Sunni dibunuh. Pemimpin Syiah dibunuh. Semua ini dilakukan beruang-ulang. Akhirnya setiakawan yang dibina di zaman kerajaan nasionalis hancur lebur. Kesedaran satu bangsa – Bangsa Iraqi hancur. Kini jati diri diwakili dengan kesedaran mazhab.

Wilayah Utara Iraq menjadi negara Kurdish. Dari Baghdad ke Basrah menjadi wilayah Syiah. Penganut Sunni menduduki di antara dua kawasan ini. Kota Baghdad yang kosmopolitan di mana warga kota tidak memilih mukim Sunni atau Syiah kini hancur. Dalam kota Baghdad, daerah dan mukim mula dipisah-pisah melalui mazhab.

Taktik pecah dan perentah ini membawa kejayaan besar kepada Amerika. Perang gerila mengendur dan akhirnya dapat dipatahkan. Puak penentang Amerika dari jalur nasionalis termasuk kumpulan Islamis telah hampir hancur. Mereka berundur ke wilayah padang pasir yang lebih selamat.

Ketika inilah Presiden Obama dengan bangganya membawa bala tentera Amerika meninggalkan Iraq. Pada Disember 2011, Obama mengumumkan semua soldadu dan bala tentera Amerika selamat pulang. Iraq dipulangkan kepada Iraqi dibawah pimpinan Presiden Maliki.

Iraq Baru bawah pimpinan Presiden Maliki membawa satu harapan kepada rakyat Iraq. Presiden Maliki diharap-harapkan akan membawa keamanan. Tetapi harapan tinggal harapan. Maliki dilihat bukan Presiden Iraq, bukan mewakili Iraqi tetapi menjadi Presiden Syiah. Sikap berpuak Maliki ini cukup tebal dan ini gagal untuk melahirkan Iraq Baru pasca-Saddam.

Pilihan raya 2010 telah memperlihatkan cara pengundi memilih. Sama seperti yang berlaku di Tanah Melayu pada tahun 1955, Melayu undi Melayu, Cina undi Cina. Di Iraq, Syiah undi Syiah dan Sunni undi Sunni. Sikap sekterian mazhab ini semakin menebal.

Pertelingkahan Shia/Syiah ini menjadi bertambah buruk. Naib Presiden Tariq al-Hashemi telah dituduh oleh Maliki bersekongkol dengan 'puak pengganas'. Tariq melarikan diri. Pada September 2012 dia telah dijatuhkan hukum mati. Kini Tariq seoarang Sunni hidup dalam buangan di Doha.

Sikap sekterian Maliki ini tidak berkesudahan. Kini seorang lagi menteri kewangan Iraq dituduh bersekongkol dengan 'puak pengganas'. Raffi al-Issawi dilihat sebagai perwakilan Sunni dalam kabinet Maliki. Pada bulan Disember 2012, sosok ini diserang dan cuba ditangkap. Raffi yang amat-amat dihormati di kalangan Sunni kini melarikan diri. Dengan ini keyakinan warga Sunni terhadap kerajaan Iraq Baru hancur.

Ketika semua ini berlaku Abu Bakar Baghdadi mungkin dalam penjara Amerika di Kem Bucca atau mungkin telah dibebaskan. Apa yang sahih dalam penjara Iraq, ada ratusan anak-anak muda Sunni yang telah ditahan oleh soldadu Maliki.

Dalam masa yang sama kumplan Rela Syiah terus menerus membunuh anak-anak muda Sunni walau pun mereka tidak terlibat dalam apa gerakan politik. Syiah bunuh Sunni menjadi lumrah hinggakan saban hari mayat bergelimpangan ditemui di pinggir jalan.

Ketika ini juga Amerika sedang menjalankan strategi induk untuk mendominasi telaga minyak dunia. Racangan kaum imperialis Amerika untuk mengepung dan memiliki telaga minyak dunia sedang dijalankan satu persatu. Libya kini telah menjadi wilayah Amerika. Gadaffi telah mati dibunuh, maka langkah saterusnya ialah menyerang Syria.

Amerika menyerang Syria adalah sebahagian daripada tindakan yang telah dilakar dan dirancang. Amerika dengan licik telah menggunakan dasar 'pecah perintah'. Di Iraq, Amerika mendokong kerajaan Syiah manakala di Syria Amerika menyokong Sunni untuk menggodam Bashir yang dikatakan dari mazhab Syiah.

Perang Syria ini telah membuka peluang yang amat baik untuk Al-Qaeda cawangan Iraq. Pada musim panas 2011 mereka telah memasuki Syria. Di Syria, Al-Qaeda telah mendapat sambutan hangat. Mereka dilihat sebagai pejuang Sunni.

Saudi, Qatar dan Kuwait telah menyokong dengan dolar dan dinar segala jenis macam kumpulan-kumpulan Sunni yang dikatakan ingin menumbangkan kerajaan Bashir. Senjata mula masuk mencurah-curah dari Amerika dan sekutunya. Amerika, Britain, Perancis dan Turki telah terlibat secara langsung dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan Bashir di Damascus.

Di sinilah Al-Qaeda yang berpengalaman dalam taktik perang gerila telah membuktikan ketrampilan mereka. Kalau dahulu mereka hanya menunggu duit zakat dan sedekah, kini duit dan senjata datang mencurah-curah. Mereka juga telah mula menjalankan 'road block' untuk memungut cukai, melakukan 'rompakan' untuk menambah dana. Al-Qaeda juga telah berjaya menawan telaga minyak di Syria.

Pada bulan April 2013, warga Sunni di Iraq telah melakukan tunjuk perasaan di Bandar Huwija. Seorang soldadu telah 'ditembak' mati. Tapi tindak balas dari Presiden Maliki cukup memeranjatkan. Seramai 56 penunjuk perasaan telah ditembak mati oleh soldadu Maliki. Keadaan ini menjadikan semua pekan dan kota bermajoriti Sunni – Ramadi, Fallujah, Takrit dan Mosul- keluar berdemo untuk bersetiakawan.

Dalam suasana inilah kumpulan Al-Qaeda cawangan Iraq berhujah bahawa pilihan raya telah dijalankan dan hasilnya menteri Sunni ditangkap. Tunjuk perasaan telah dilakukan. Hasilnya ramai yang ditembak mati. Al-Qaeda kini berhujah bahawa masanya telah sampai untuk semua anak muda Sunni bangun menentang Maliki dengan mengangkat senjata.

Lima bulan sesudah pembantaian di Huwija, Al-Qaeda telah menyerang penjara Abu Ghraib. Serangan ini membebaskan 500 tahanan. Ini bermakna Al-Qaeda bertambah 500 orang gerila.

Dengan senjata dari Syria dan sokongan warga Sunni, Al-Qaeda telah menyerang Ramadi dan Falujjah. Dua kota Sunni ini berjaya ditawan. Amat jelas soldadu Maliki tidak ada keupayaan untuk menentang kumpulan Al-Qqeda ini.

Pada bulan April 2013, Al-Qaeda Iraq menukar nama untuk menjadi Negara Iraq dan Levant (ISIS) dan melantik Abu Bakar al-Baghdadi sebagai pemimpin. ISIS menghidupkan kembali konsep Khalifah. Konsep ini dilihat telah berjaya menjerut bukan sahaja anak muda di Iraq, malah menjerut dan memanggil ramai anak-anak muda Sunni dari benua Arab dan Eropah untuk menyertai revolusi dalam usaha untuk menegakkan kembali sistem Khalifah Islam.

Laungan Kahlifah Islam ini juga telah sampai ke Malaysia. Justeru laungan inilah yang telah memanggil saya untuk menulis dan memberi pencerahan tentang ISIS.


Perang di Timur Tengah hari ini semuanya bermula dengan ledakan WTC pada 9/11. Ini kenyataan salah. Semuanya bermula dengan perang Iraq. Ini juga kenyataan salah. Semuanya bermula dengan Iran. Ini juga salah. Semuanya bermula dengan Zionis Israel. Ini juga salah. Semuanya bermula dengan Saddam dan Gaddafi. Ini juga salah. Semuanya bermula dengan pertelingkahan Sunni dan Syiah. Ini juga tak betul. Semuanya bermula dengan CIA dan KGB. Dengan MI6? Ini juga salah.

Jika semua salah, jika semua tak betul, apa puncanya perang yang sedang melanda Timur Tengah hari ini?

Biar saya nyatakan di sini, perang dan pergolakan politik dunia hari ini semuanya berpunca daripada petrol – bahan bakar petroleum. Minyak petrol telah menjadi punca perang dunia kedua. Dan kini perang dunia bahagian ke-2 juga disebabkan oleh minyak petrol. Pergolakan politik dunia hari ini adalah pergolakan pengeluaran bahan bakar petroleum.

Saya telah banyak menulis tentang teori peak oil atau puncak minyak. Saya juga telah cuba membawa pencerahan tentang peranan minyak dalam tamadun manusia moden. Semua ini saya lakukan dengan harapan para pembaca akan memiliki latar untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam dunia hari ini.

Memahami apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita semua.
Sayugia diingatkan bahawa dunia hari ini amat jauh bezanya dari dunia arwah ibu dan ayah saya. Malah dunia hari ini amat jauh bezanya dari dunia yang saya lalui ketika saya membesar di sekolah rendah hingga ke universiti.

Dalam masa yang amat singkat Malaysia telah mengalami perubahan mendadak. Dalam masa yang singkat dunia telah berubah. Perubahan mendadak ini berlaku kerana wujudnya bahan bakar petroleum. Semenanjung Malaysia mula menjadi pengeluar minyak pada tahun 1974. Asas ekonomi Malaysia mula beralih.

Dari getah dan bijih, kini dengan duit modal minyak, Malaysia mula membina infrastruktur untuk menjemput pemodal luar. Tanpa bahan bakar minyak Malaysia pasti bukan Malaysia yang kita hadapi hari ini.

Dunia hari ini adalah dunia petroleum. Asas dunia hari ini ialah minyak. Tanpa minyak dunia hari ini akan terhenti dan tidak bergerak. Terhenti dan tidak bergerak? Betul, apabila minyak habis maka dunia ini akan terhenti. Tamadun kita hari ini akan terhenti.

Tamadun kita hari ini ialah tamadun minyak. Dunia hari ini bergerak kerana wujudnya minyak. Tamadun minyak ini bergerak melalui satu sistem ekonomi yang dipanggil sistem ekonomi kapitalis. Daripada tamadun minyak dan sistem ekonomi kapitalis ini muncul budaya, nilai, politik dan negara bangsa. Umat manusia hari – anak semua bangsa - semuanya adalah umat minyak.

Persoalan muncul berapa lama agaknya minyak akan terus mengalir dari perut bumi? Berapa lama lagi bahan bakar ini akan terus dapat menjana dan membakar agar sistem kapitalis ini terus bergerak?

Salah satu jawapan datang dari peak oil theory atau teori puncak minyak. Teori ini telah cuba menjawab soalan ini. Teori ini secara ilmiah dan berdasarkan fakta telah meramalkan kehabisan minyak dalam dunia ini. Apabila minyak habis maka tamadun minyak yang berumur kurang lebih 150 tahun ini akan terhenti dan runtuh.

Mengikut teori ini kita telah melintasi puncak dan sedang memasuki zaman meleset. Ini bermakna dari hari ke hari bahan bakar minyak petroleum akan berkurangan. Permintaan makin bertambah. Ekonomi kapitalis bergantung kepada pengeluaran dan permintaan. Perusahaan dan kilang memerlukan bahan bakar minyak untuk bergerak. Permintaan untuk minyak bertambah manakala pengeluaran minyak makin berkurangan. Harga minyak tidak menentu dan semakin mahal.

Jika minyak menjadi begitu mahal dan pengeluaran berkurangan maka tamadun kita akan runtuh. Keruntuhan tamadun bukan satu yang baru. Dari kajian arkeologi kita membaca bagaimana tamadun Inca berkembang dan runtuh di Amerika Latin. Kita juga membaca bagaimana tamadun Lembah Ganges berkembang dan runtuh di India. Kita juga membaca bagaimana tamadun Mesir kuno maju dan runtuh. Malah dalam kita-kitab suci agama-agama ada kesah dan surah tentang tamadun kuno yang telah runtuh.

Al-Quran ada menyebut tamadun Aad dan Thamud untuk dijadikan pengajaran.

Apa yang saya lakarkan di sini bukan satu dogeng. Fakta-fakta telah membuktikan bahawa bahan bakar petroleum ini akan habis. Minyak adalah sumber asli – mengalir keluar dari perut bumi. Minyak bukan macam getah atau sawit yang boleh ditanam untuk dituai. Lima leter minyak yang dibakar bermakna minyak dunia berkurangan sebanyak lima liter. Minyak yang telah dibakar tidak dapat ditokok tambah.

Dari data resmi International Energy Agency tahun 2011, dunia telah membakar 89 juta tong minyak sehari. Satu tong ialah 156 liter. Dalam setahun dunia membakar 32 bilion tong setahun. Ini data tahun 2011. Tahun 2014 pasti bertambah.

Fakta minyak semakin berkurangan ini diketahui oleh Obama, diketahui oleh Putin, di ketahui oleh pemodal antarabangsa, diketahui oleh CIA, diketahui oleh perancangan dasar Rumah Putih dan juga perancang dasar untuk Kremlin. Fakta ini juga diketahui oleh Beijing dan Parti Komunis China. Malah Najib Razak empat tahun dahulu pernah berkata bahawa pada tahun 2016 Malaysia juga akan kekeringan minyak.

Perang Dunia Kedua telah membuktikan bagaimana Hitler telah cuba masuk ke Afrika untuk menawan telaga minyak di Mesir. Bahan bakar petroleum adalah asas utama penggerak sistem ekonomi kapitalis hari ini. Tanpa minyak maka sistem ekonomi kapitalis ini akan runtuh. Bibit-bibit keruntuhan ini semakin jelas dapat dilihat. Krisis kewangan yang bermula pada September 2008 telah melanggar dunia kapitalis masih menggelodak. Sistem kapitalis kelihatan rebah bangun. Harga minyak naik dan turun. Setiap kali ianya bangun sistem ini semakin lembik dan rapuh.

Justeru para pemikir, para perancang dan panglima perang penyokong tegar sistem ekonomi kapitalis berkumpul berfikir dan merancang. Kaum imperialis Anglo-Amerika menyedari perkara ini. Mereka melahirkan strategi untuk memastikan diri mereka selamat dari ledakan kekeringan bahan bakar petroleum.

Strategi ini ialah mengepong dan menawan semua telaga-telaga minyak mentah dalam dunia ini. Ini adalah prinsip asas perancangan ini. Selainnya hanya mekanisme dan taktik untuk memastikan telaga minyak ini akan dapat mereka miliki.

Justeru, Islam, Sunni, Syiah, Arab, Parsi, Kurdish, Boko Haram, al-Qaeda, KMM, Al-Nusra, Mujahiden termasuk ISIS hanyalah projek sampingan. Semua ini adalah pecahan dari projek induk untuk memastikan bahan bakar petroleum ini jatuh ke tangan kuasa imperial Anglo-Amerika.

Project for New American Century (PNAC) – Alaf Baru untuk Amerika - telah difikirkan, dirancang dan ditulis. Projek PNAC ini sedang dijalankan satu persatu. Projek ini berpayung di bawah projek induk untuk mewujudkan New World Order atau tata baru dunia. Peraturan baru dunia di mana semua umat manusia ini akan dikawal dan menjadi hamba kepada kuasa imperial Anglo-Amerika.

Mungkin ada yang menganggap tulisan ini agak susah untuk dipercayai. Atau kurang diyakini. Saya menyedari perkara ini kerana apa yang saya cuba paparkan di sini ialah gambaran besar (the big picture). Saya melukis hutan belantara yang penuh dengan duri dan ranjau. Saya tidak berkisah tentang kayu jati atau meranti. Melihat sebatang kayu lebih senang dari melihat hutan. Tetapi batang-batang kayu inilah yang menjadikan hutan.

Maka ISIS, al-Qaeda atau al-Nusra hanyalah batang-batang kayu yang diwujudkan oleh kuasa imperial Anglo-Amerika untuk memastikan projek menawan semua telaga minyak di Timur Tengah. Mereka ini hanya 'aparacik' untuk menjayakan Projek Alaf Baru Amerika.

Iraq dilaporkan sebagai wilayah yang memiliki minyak terbanyak sesudah Arab Saudi. Ini diikuti oleh Iran dan Rusia. Iran dan Rusia bukan sekutu Amerika. Begitu juga Iraq ketika di bawah Saddam Hussein. Dari perancangan strategi Projek Alaf Baru Amerika ini seluruh Timur Tengah termasuk Iran, Turki, Afghanistan dan Pakistan wajib dimasukkan dalam bakul Anglo-Amerika. Justeru Perang Drones di Utara Pakistan, serangan gerila Sunni ke Timur Iran, Perang 'non stop' di Afghanistan adalah sebahagian dari strategi ini.

Sebenarnya Perang Dunia Kedua yang berpunca dari perebutan telaga minyak hanya berhenti 'rehat' sebentar. Dunia hari ini masih lagi berperang. Di Yemen Perang Drones sedang berjalan. Boko Haram di Nigeria ialah perang perebutan telaga minyak. Perang juga sedang berjalan di Libya untuk merebut telaga minyak.

Kurdish dan Arab berperang di Iraq untuk merebut Kirkuk wilayah telaga minyak Iraq.

Bagaimana dengan ISIS? Bukankah ISIS ini berjuang untuk menegakkan Islam. Bukankah ISIS ini ingin mendirikan kembali sistem Khalifah Islam?


Hishamuddin Rais

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...