Komunis, Puasa, China


Menjelang Ramadhan Al-Mubarak, kita sekali lagi cuba disajikan dengan propaganda usang dan lapuk, momokan hantu komunis dan pengganas Islam (dirujuk pihak berkuasa sebagai JI).  Bulan puasa, seiring dengan sambutan hari kemerdekaan – seperti selalu – dapat dimanfaatkan parti pemerintah untuk menyerang parti-parti Pakatan Rakyat. Masyarakat mahu diingatkan bahawa Mat Sabu bertanggungjawab membawa wacana sejarah yang menamakan Mat Indera sebagai tokoh kemerdekaan.

NONEDi sebalik propaganda anti-komunis ini, yang cuba diterapkan adalah tanggapan orang komunis itu tidak beragama, atheis, malah memerangi agama. Tanggapan (persepsi) pastilah ada benar dan ada salahnya. Tetapi tanggapan bukanlah fakta kebenaran. Makanya seorang pimpinan tertinggi parti Islam yang membela tokoh komunis Malaya, cuba untuk diputar serang-pesongkan tanggapan umum terhadapnya agar menjadi hodoh buruk pemerian serta gambarannya.
Seraya pembelaan perjuangan berdarah patriotisme merebut kemerdekaan tanahair daripada penjajahan Inggeris telah diserong pesong menjadi membela fahaman anti-agama, khususnya anti-Islam dan pro kepada rakyat berketurunan Cina di Malaysia. Komunisme adalah ideologi. Sistem aturan fikiran ideologi ini, sebagaimana salasilah agama-agama juga turut memiliki cabang-cabang mazhab berupa pecahan –– percambahan – penokok tambahan – penyesatan – atau perkembangannya. Komunisme, juga memiliki keragaman versi-versinya. Tidak sama Parti Komunis Malaya (PKM) dahulu, dengan Parti Komunis China sekarang. Meskipun kedua-duanya adalah parti komunis.

Ia sebuah lagu lama dakyah perang dingin yang dinyanyikan semula dengan nafas mutakhir yang kurang segar. Lagu ini tetap didendangkan, walaupun fakta-fakta sejarah, penulisan biografi dan kesaksian bekas-bekas anggota PKM, khususnya mereka yang beragama Islam, menunjukkan hal yang sebaliknya.
Malahan fakta menunjukkan Mat Indera juga seorang guru agama. Sejarah boleh ditaksir baca bahawa sebenarnya bukan PKM yang menyusupi golongan kiri dan agamawan Melayu progresif. Pada tahun 2012 ini, melalui blog Mat Amin (http://matamin02.blogspot.com/) misalannya, kita dapat melihat hal yang sebaliknya berlaku. Apatah lagi dakwah serta perkahwinan campur Melayu-keturunan Cina telah meng-Islamkan ramai ahli PKM yang bukan Islam.

Kita mesti senantiasa beringat akan hal-hal berkait sentimen keagamaan, perkauman atau kebudayaan sesuatu etnik seringkali menjadi alat untuk dieksploitasi atau dimanipulasi sebagai kempen bagi mendapat sokongan politik. Baru-baru ini pula, saya membaca tentang tindakan Pemuda PAS dan terbaru Pemuda parti Umno terhadap nasib orang Rohingya.
NONESaya tidak bertujuan mempersoal hasrat atau niat tersirat di dalam hati masing-masing. Sekecil atau sebesar apapun, ia usaha mulia – kalau betul hajatnya. Cuma rasanya, Khairy Jamaluddin dilihat sebagai peniru atau cuba menutup kelemahan pihak berkuasa, lalu ikut menuruti jejak Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan. Dewan Pemuda PAS telahpun terlebih dahulu mengumumkan demonstrasi Munajat, sebagai setiakawan untuk rakyat Rohingya itu.

Masalah Rohingya bukan baru. Seperti Palestin, telah puluhan tahun wujud, sepertimana banyak lagi masalah-masalah perpindahan/pengusiran paksa di dunia hari ini. Kita tahu ramai pelarian Rohingya di Malaysia, yang pernah ditahan, tidak diiktiraf sebagai pelarian, dihantar ‘pulang’ hanya ke sempadan Thailand. Seterusnya para pelarian di sempadan ini perlu untuk sekali lagi melalui denai berliku jaringan sindiket pemerdagangan manusia yang penuh jerangkap itu, agar dapat sekali lagi sampai ke sini.
Lantas kebarangkalian mereka  untuk melalui lingkaran setan – perhambaan moden –pemerdagangan manusia – rasuah dan salah guna pihak berkuasa –  itu berkali-kali lagi, setelah berada di tanah Malaysia yang selamat ini, amat cukup besar sekali. Perkara ini pernah dikupas dan diungkap dengan teliti serta penuh menyayat hati oleh para pelarian Rohingya sendiri di dalam buku The Revolving Door, terbitan Tenaganita, pada tahun 2008.

Bukan ahli politik Malaysia saja yang menggunakan puasa sebagai modal buat dijual di pasar politik untuk dibeli (disokong) orang ramai. Presiden Amerika Syarikat (AS), Obama juga turut memanfaatkan Ramadan dengan memberikan ucapan selamat serta merayakan acara berbuka puasa di Rumah Putih. Apakah ucapan ini benar-benar ditujukan kepada umat Islam AS atau ke seluruh dunia, ataupun khusus dihalakan kepada pihak-pihak tertentu sahaja?
Polisi luar negara Amerika Syarikat sejak berdekad-dekad lamanya seringkali dilihat tidak mesra, malah memusuhi umat Islam dan negara-negara Islam. Barangkali ucapan Obama tersebut berkait rapat dengan dasar luar AS terhadap China dengan menghubungkannya kepada keadaan dan nasib umat Islam, di China.

Rumah Putih cuba menunjukkan kepada dunia bahawa AS yang ‘demokratik’ lebih peka terhadap ajaran Islam berbanding China yang ‘komunis’ kerana dilapor melarang rakyat minoritinya yang beragama Islam daripada berpuasa. Meskipun hakikatnya, di luar konteks ucapan sambutan puasa Obama itu – seperti yang terjadi di Timur Tengah, Afghanistan, Iraq, Palestin atau penganiayaan di kem Abu Gharib – Islam dicemari dan tidak dihormati.

Uighur (disebut Wee-gerz) merupakan kumpulan etnik yang berbahasa Turki, beragama Islam di kawasan Xinjiang. Dulu ia dikenali dengan nama Turkistan Timur. Secara sejarahnya, wilayah ini merupakan  laluan perdagangan ‘jalan sutera’ Asia Tengah yang penting. Interaksi para penduduk di wilayah ini dengan para pedagang serta pendakwah Arab, Farsi dan Turki, sejak tersebarnya hadis, “tuntutlah ilmu sampai ke negeri China,” telah membawa syiar Islam ke Xinjiang. Wilayah Barat Laut China tersebut kaya dengan hasil galian bumi, minyak, gas dan arang batu.

Awal minggu ini, Radio Free Asia melaporkan pihak berkuasa melarang sebarang bentuk kegiatan ibadat awam pada sepanjang bulan Ramadan. Menurut Dilxat Raxit,  jurucakap World Uyghur Congress, kumpulan pelarian yang berpangkalan di Munich, “para anggota Parti Komunis China (CPC), kakitangan kerajaan di Xinjiang dilarang daripada berpuasa sepanjang bulan Ramadan.”
Umat Islam di sana sentiasa dalam pemerhatian, kawalan dan pemantauan pihak berkuasa. Bagi para pekerja swasta dan para pelajar sekolah dan universiti pula, mereka disediakan makan tengahari. Ia pastilah membawa bermacam-macam tanggapan, atau barangkali tindakan.

Di sini ingin saya cadangkan Khairy  yang berhubungan rapat dengan Sekretariat Pemuda CPC, usulkan agar parti Umno yang telahpun menandatangani perjanjian hubungan rasmi (MOU) pada tahun 2010 dengan CPC untuk melakukan sesuatu. Inilah masanya untuk Umno membuktikan keperkasaan serta kejaguhannya di mata orang Melayu, umat Islam, rakyat Malaysia dan umat manusia sejagat! Moga umat Islam Uighur dapat diselamatkan, tetapi janji ditepati kepada CPC. Pautan video (http://youtu.be/t0o6qq7K7mk).
Kini, bagaimana pula jika orang bertanyakan tentang keterkaitan rasmi parti United Malay National Organization dengan CPC, yang menindas Wilayah Autonomi Xinjiang dan mendiskriminasi minoriti umat Islam yang ‘hanyalah’ berjumlah kira-kira 8 juta orang itu? Kita juga tahu, ada pelarian politik Islam Uighur yang dihantar pulang pihak berkuasa Malaysia ke China, untuk berdepan pemenjaraan dan hukuman.
Entahkan hidup, entahkan mati. Menjadi amalan di China, anggota keluarga yang bertanyakan atau menghantar petisyen kepada pihak berkuasa China, berdepan ancaman, gangguan, ugutan, malah tangkapan ataupun ayat hambar kepada isteri tahanan, “baliklah jaga anak-anak di rumah.”

Rasa peri kemanusiaan bagi saya lebih besar merentas perbezaan mazhab-mazhab, kerasmian protokol agama-agama, sistem-sistem idea, etika, adat atau moral apapun di dunia. Kerana jika kita benar-benar tersentuh terhadap nasib golongan minoriti Islam di negara manapun.
Kita juga mesti tersentuh dengan nasib kezaliman tindakan diskriminasi terhadap golongan minoriti apapun dan di manapun, tanpa mengenal batas agama, kaum, gender atau latar budaya, mahupun asal negara seseorang itu. Lebih-lebih lagi kepekaan kita terhadap cara, dasar dan perundangan negara Malaysia sendiri dalam memperlakukan golongan minoriti. [Kita yang saya maksudkan – cukup sekadar yang membaca tulisan ini?]

aung san suu kyi released burma waves to crowdSuka saya kutip kembali, ucapan penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi baru-baru ini, moga-moga dengan semangat bulan puasa, kita dapat belajar, paling kurangpun tentang jiwa dan akal budi diri kita sendiri. Meski konteks ucapan Suu Kyi merujuk kepada kesusahan para pelarian rakyat Burma, tetapi kesejagatan ungkapannya yang cuba diangkat:

“The French say that to part is to die a little. To be forgotten too is to die a little. It is to lose some of the links that anchor us to the rest of humanity. When I met Burmese migrant workers and refugees during my recent visit to Thailand, many cried out: “Don’t forget us!” They meant: “don’t forget our plight, don’t forget to do what you can to help us, don’t forget we also belong to your world.”

[“Ungkapan Perancis menyatakan berpisah itu untuk mati sebahagian daripada diri. Untuk dilupakan juga adalah untuk mati sebahagian daripada diri. Ia menghilangkan beberapa pautan yang menambat kita dengan seluruh umat manusia. Apabila saya bertemu para pelarian dan pekerja migran Burma dalam lawatan ke Thailand, ramai yang menyuarakan: “Jangan lupakan kami!” Maksud mereka: “jangan lupakan penderitaan kami, jangan lupa untuk berbuat apa yang kamu boleh buat untuk membantu kami, jangan lupa kami juga kepunyaan duniamu.”






  • Rahmat Haron
  • 10:50AM Jul 28 2012

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...