Dasar pembangunan jadikan Melayu makin miskin perlu dikaji

Dakwaan Draf Kuala Lumpur 2020 Pelan Bandar Raya mengatakan Kampung Padang Balang sebagai setinggan amat mengguris perasaan penduduk di situ. Keadaan itu juga ditambah lagi dengan penghinaan bahawa rumah penduduk di situ diklasifikasikan sebagai usang.





Tuduhan kampung setinggan tersebut merupakan perancangan dan konspirasi pihak tertentu untuk mengambil tanah penduduk dengan mengemukakan bayaran pampasan yang rendah. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dijangka akan bertindak ganas meroboh rumah penduduk jika mereka enggan berpindah atau menerima pampasan secara paksa.

Pengerusi Barisan Bertindak Penduduk Kampung Padang Balang, Haji Zainal Abidin Maas berkata, maksud setinggan yang dinyatakan draf Kuala Lumpur tersebut mempunyai motif jahat dan menghina nenek moyang penduduk yang meneroka Kampung Padang Balang.

"Mindset pihak berniat jahat ini menyebabkan mereka merancang untuk 'membangun' kampung kami yang tercinta ini dilakukan tanpa pertimbangan dan amat zalim tambahan pula tiada seorang penduduk kampung ini dibawa berbincang atau berunding perihal pembangunan ini," ujarnya.

Perobohan secara paksa sudah berlaku di Kampung Berembang, Kampung Chubadak Tambahan dan perkampungan yang didakwa setinggan. Sedangkan penduduk meneroka kampung mereka berpuluh tahun malah beratus tahun dahulu terutama dasar penghijrahan penduduk desa ke Kuala Lumpur yang dikatakan bagi mengimbangi komposisi penduduk Cina di bandar raya.

Pada zaman pemerintahan Tun Abdul Razak, rakyat luar bandar digalakkan berhijrah ke bandar dan ditawarkan peluang pekerjaan di sektor kilang.

Mereka dibenarkan membuka perkampungan baru bagi mendirikan tempat tinggal kerana kerajaan tidak mampu menyediakan perumahan untuk rakyat akibat kemasukan penduduk desa terlalu ramai dan secara mendadak ke bandar ketika itu.

Penduduk yang meneroka kawasan baru diberikan kemudahan elektrik, air dan jalan tar serta kemudahan lain sebagaimana yang dinikmati oleh kampung yang diiktiraf. Malah setiap kali menjelang pilihan raya umum atau kecil mereka dijanjikan geran tanah dan hak menduduki oleh Umno.

Namun begitu selepas negara bertambah maju mereka yang banyak membantu membangunkan negara sebelum ini dinafikan hak. Sepatutnya mereka antara yang menikmati pembangunan dan menjadi jutawan kerana nilai tanah tempat mereka berharga tinggi.

Sekiranya benar kerajaan mahu meningkatkan taraf sosial ekonomi orang Melayu dan menolong Melayu, itulah masa dan ketikanya tetapi kerajaan tidak ikhlas.

Kerajaan hanya menjutawankan golongan pemaju dan kroni pemerintah sebaliknya menjadikan penduduk kampung yang tinggal di tanah bernilai tinggi itu makin bertambah merempat.

Pembangunan di tanah penduduk terbabit tidak dikongsi bersama. Mereka yang meneroka asal hanya mampu melihat kampung yang mereka tinggal dahulu tersergam indah dan pihak lain yang mengecapi kemakmurannya.

Sedangkan pemilik asal makin tercampak ke sudut dan penjuru kota terpaksa membina hidup baru membeli semula rumah pangsa.

Sungguh malang nasib rakyat bawahan, ketika datang ke Kuala Lumpur mereka bekerja keras mengumpul wang untuk membuka kampung dan mendirikan rumah. Wang juga dihabiskan kepada tali barut Umno yang menjanjikan geran menduduki.

Mereka datang dengan kemiskinan berhasrat mengubah kehidupan. Setelah mula menikmati sedikit kesenangan tiba-tiba dihalau keluar.

Hidup mereka kembali jatuh miskin terpaksa mengeluarkan belanja sekali lagi untuk membeli rumah. Pampasan hanya dibayar cukup untuk urusan pemindahan dan bayaran pendahuluan rumah.

Sedangkan orang lain yang baru datang ke Kuala Lumpur boleh terus menikmati kehidupan. Apakah keadilan yang diberikan kepada mereka?

Peneroka Felda luar bandar boleh jadi jutawan apabila kawasan mereka dimajukan. Penduduk Orang Asal (Asli) di Bukit Lanjan boleh hidup senang dan makmur diberi pampasan rumah banglo serta wang dengan jumlah ratus ribu ringgit apabila tanah mereka diambil kerana pembangunan.

Tanah Felda dan Rizab Orang Asli pun berstatuskan pertanian tetapi mereka mendapat hak menikmati pembangunan sebaliknya orang Melayu lebih malang di tanah air sendiri.

Zainal berkata bantahan penduduk bukan menolak pembangunan tetapi biarlah ia bertujuan mendapatkan pembangunan yang mampan, bersifat kebajikan, membela dan memanfaat, membawa kedamaian, keharmonian di samping memartabatkan Islam dan maruah bangsa Melayu.

Tambah beliau, pelaksanaan pembangunan juga perlu mengambil kira pertimbangan yang wajar dan berteraskan semangat kesedaran dan pembelaan, bukannya menzalimi tanpa belas ehsan.

"Pembangunan perlu berperikemanusiaan, memenuhi tanggung jawab sosial, mesra alam serta membawa suasana menang-menang (win-win situation) bagi semua pihak terlibat.

"Tidak meminggirkan bangsa sendiri dengan merampas 'merobek' equiti hak milik bangsa Melayu yang dipusakai dari nenek moyang demi mencapai wawasan Kuala Lumpur sebuah bandar raya bertaraf dunia pada tahun 2020.

"Apakah wajar bagi kita memilih kota New York, London atau Paris sebagai kayu ukur untuk membangun dan menaiktaraf Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf dunia? Apakah kita berasa megah apabila Kuala Lumpur dapat `menciplak' kota New York?

"Apakah untuk meleraikan kesesakan lalu lintas kelak kita sanggup menggadaikan bangsa, agama dan maruah kita? Tidakkah DBKL memiliki jati diri, aspirasi dan inspirasi serta nilai Islamik untuk menjana wawasan yang menjadikan Kuala Lumpur mengikut identiti dan cita rasa bangsa dan agama dan warisan kita orang Melayu," soalnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...