MAT REMPIT BERSATULAH

dipetik dari tukartiub.blogspot.com


Ujung minggu lalu saya ke Pulau Pinang. Ketika ingin pulang kami menyisir di jalan lama untuk singgah ke Port Weld. Saya ingin merasa mee udang yang terdengar bising ketika heboh heboh di Bukit Gantang.

Tak ada apa-apa – mee udang ini jauh tangan dari peha.

Kemudian kami memotong ke Kuala Kangsar – pekan yang amat saya kenali. Kami berhenti untuk secawan kopi pahit di Double Lion. Roti bakarnya dengan kaya kampong masih baik. Kopinya tidak merosot tapi tidak akan menjadi pilihan utama.

Dari Kuala Kangsar kami melencong ke jalan lama menuju Selama. Jalan indah melintasi kampong, dusun, getah dan belukar. Saya tidak lagi marah dengar belukar kerana belukar juga adalah rumah serangga dan pelbagai hidupan. Belukar juga membersihkan udara kotor hasil dari asap kereta. Kalau tidak ada belukar dimana biawak akan hidup.

Di pertenghan jalan kami terserempak dengan beberapa buah kereta. Jalan yang kecil memaksa kami berbontot-bontot. Tetiba satu kumpulan Mat Rempit – berbelas orang – melintasi kami. Anak anak muda ini – langsing, ranggi dan cool.

Mereka mencelok kiri dan mencelok kanan untuk memotong kereta yang sedang beratur. Mereka cukup berani. Saya kagum melihat keberanian mereka. Sekelip mata mereka memintas dan meninggalkan kami.

Lima minit kemudian saya ternampak seorang Mat Rempit tercampak ke tebing kanan jalan. Motosikalnya terhumban ke dalam longkang yang dipenuhi rumput dan belukar. Dua orang kawan sampai tetapi masih di atas motor sampai. Ini solidariti Mat Rempit.

Motosikal barunya terbalik. Saya nampak anak muda ini terduduk dalam longkang. Mungkin tidak cedera. Kereta kami meninggalkan mereka.

Teman yang memandu hairan kenapa Mat Rempit tidak takut dengan kemalangan ?

Lalu saya menjawab :

Mereka tidak takut kerana mereka muda. Inilah sifat anak muda berani mencuba dan berani melawan arus.

Semua pencipta dalam dunia ini adalah anak muda. Kerana kemudaan mereka berani melanggar hukum. Zaman Pencerahaan dahulu di buka dan diteroka oleh anak muda. Ibu Battuta mengembara untuk mengisi zaman mudanya. Marco Polo berjalan ketika dia masih muda. Iskandar Zulkarnain sampai ke India ketika dia masih muda.

John Lennon, Picasso, Beethoven – semua berkarya di zaman muda. Mereka mengindahkan dunia.

Mat Rempit berani kerana dunia di hadapan masih luas terbentang. Sakit, mati, maut atau kecederaan tidak pernah menjadi perhitungan anak muda. Hanya orang tua yang takut mencuba yang baru.

Mat Rempit ini tidak memikir apa-apa. Dia mungkin dari kampong - dari Felda – mungkin anak ketiga atau ke tujuh. Kalau di kota dia tinggal di kawasan padat lagi sempit – seperti Pantai Dalam dan Kerinchi. Ayahnya mungkin telah kahwin lagi. Dia mendapat entah apa apa dari sekolah. SPM atau pebagai haram jadah pepereksaan itu hanya menyusahkan hidup mereka.

Dia melihat tanah-tanah padang di kawasan mereka diambil alih oleh pemaju perumahan. Padang bola mereka di ambil untuk mendirikan kondo mewah. Hutan hutan disekeliling habis dicunggah oleh pemaju tanah. Kalau keluarga mereka peneroka miskin dalam kota – mereka akan dihalau jauh ke luar kota. Tanah ibu bapa mereka dirampas untuk rumah rumah mewah. Mereka melihat - jika ada sahaja tanah kosong semuanya terjual. Dalam kota - ada sahaja tanah kosong akan disembah untuk dijadikan tempat letak kereta.

Kalau mereka meminati bola – taiko judi akan masuk campur. Permainan bola mereka akan diolah oleh towkay judi. Apa sahaja sukan mereka minati towkay judi dan para pengiklan akan masuk. Mereka hanya kuli batak. Kegembiraan untuk merayakan kehidupan akan digunakan oleh orang lain utuk membuat kaya.

Kalau ada persatuan ditubuhkan tiba-tiba ada peresmian. Tetiba mereka kena pakai baju batik. Paling tidak cool. Paling belia. Mereka tidak mahu menjadi ‘ belia bergerak maju’. Mereka tidak mahu menjadi Mat Skema. Mereka tidak mahu menjadi Mat Jiwang. Mereka menhamapehkan semua bentuk ‘rakan’. Kempen rakan muda yang lalu hanya tipu helah syarikat iklan untuk mendapatkan 84 juta ringgit duit rakyat.

Kalau dalam persatuan semuanya kena tunduk kepada orang tua. Pemimpin persatuan tidak cool – ada kepala botak, ada perut gendut dan yang tidak boleh tahan ialah memakai baju batik lengan panjang – paling cabuk rupanya. Ada resmi-resmi. Ada duduk duduk mendengar politikus berucap. Mana boleh drinya Mat Rempit - anak muda cool duduk dengar politikus – semua ini budaya orang tua – budaya bodek.

Jika mereka ingin membuat sesuatu yang mereka suka – pasti akan di larang. Ini tak boleh itu tak boleh. Berapa ratus ribu larangan telah wujud. Ada larangan dari agama. Ada larangan dari adat. Ada larangan dari orang tua. Ada larangan dari politikus. Ada sahaja larangan yang menyusahkan hidup mereka.

Berendut di taman di ganggu pegawai ‘lampu picit’. Silap-silap ditangkap khalwat. Kalau hendak lepas kena sorong duit kopi. Pergi ke kelab harga mahal. Kalau ada duit masuk ke kelab ada pulak kes kena minum air kencing. Nak tengok konsert Pemuda Pas melarang. Pelbagai fatwa dan fatwi sampai.

Mat Rempit ini bukan dari Universiti Oxford atau Tokyo Universiti. Kenapa mereka perlu memikirkan masa depan. Masa depan mereka tidak ada apa apa. Mereka tidak ambil pot tentang bursa saham. Mereka tidak ada saham. Mereka tidak hiraukan seribu satu macam kempen yang mereka anggap menyusahkan hidup mereka. Mereka mahu hidup dan merayakan kehidupan. Mereka seronok merempit.

Yang ada – yang hakiki dan yang wujud ialah sebuah motosikal. Motosikal adalah tanda kebebasan. Bila anak muda bertemu dengan injin motorsikal semua kemungkinan berlaku. Mereka tahu nikmat zen bergerak bebas. Motosikal adalah tanda kebebasan mereka.

Wahai orang- orang tua :

Jangan pura-pura buat tidak sedar – bukankah orang tua yang menjadi towkay motosikal. Bukankah orang tuan yang amat suka anak anak muda ini kerana mereka membeli motosikal. Tuan pemilik syarikat motosikal amat gembira dengan Mat Rempit.

Jangan pura-pura buat tidak sedar bukankah F1 itu adalah daya tarikan untuk berlumba-lumba. Jangan pura pura buat tak sedar – bukan kah orang tua yang sengaja menganak tirikan pengakutan awam. Ini agar warga membeli kereta dan anak muda membeli moltosikal.

Jangan pura pura buat terperanjat apabila melihat Mat Rempit membuat aksi di jalan raya. Ini bukan pekara baru. Sebuah motosikal dinaiki oleh 15 orang ini bukan satu yang baru dilihat – ini bukan ciptaan Mat Rempit. Apakah orang tua terlupa kepada Tatoo yg dipertontonkan oleh abang2 sojar & mata-mata kita?

Kenapa saban hari Mat Rempit di serang?

Ini kerana mereka adalah gulungan yang paling lemah dalam masyrakat kita. Gulungan yang lemah ini selalu di serang, dikutuk dan di fatwa fatwikan. Kalau tidak Mat Rempit -Mat Black Metal, kalau tidak Mat Black Metal - Mat Lembut, kalau tak Mat Lembut -Mat Rock. Orang tua cukup senang untuk menyerang orang yang lemah.

Kenapa media tidak berkempen untuk terus bertanya kemana perginya P Balasubramaniam? Atau terus menulis tentang apa jadinya dengan pembunuh Norita? Atau media bertanya - siapa punya kelentong hinggakan projek pelabuhan Klang kena kemut 6 bilion ringgit? Berapa banyak lagi duit dalam dana Petronas? Berapa belanja membuat Putrajaya? Kenapa banguan lama Dewan Bahasa dan Pustaka jadi tong sampah? Berapa bilik masih kosong dalam bangunan Berkembar Petronas ? Berapa ramai penyewa Daya Bumi ? Inilah soalan yang membina negara bangsa.

Media wajib bertanya - Siapa towkay penjual motosikal ini ?

Kenapa tidak dibuat sistem pengakutan awam yang lumayan - kemudian naikkan harga kereta dan motosikal macam cara yang dibuat untuk kempen anti rokok. Kenapa di setiap motosikal tidak dibubuh gambar mayat, tengkorak, kaki tercabut – macam di kotak rokok. Kenapa tidak ditutup sahaja kilang membuat motosikal. Apakah media tidak berani kerana takut dengan bos atau takut kaum kapitalis marah. Lalu – yang senang mengutuk Mat Rempit.

Kerana kutukan datang bertalu datang kepada Mat Rempit maka semua ini menjadikan saya bersimpati. Saya bersimpati dengan sesiapa sahaja yang ditindas. Saya bersimpati dengan Mat Rempit. Saya bersimpati dengan anak muda kerana sya juga pernah muda dahulu. Semua orang tua – kaki kutuk ini - pada satu ketika dahulu mereka juga muda. Tetapi mungkin ada juga orang muda yang telah dituakan lebih awal lagi – mereka ini Mat Skema – Matg Baju Batik lengan panjang. Poyo.

Anak muda wajib hidup dengan kemudaan mereka. Anak muda pencipta alam. Hanya orang tua dan anak muda yang telah dituakan yang selalu potong stim. Mat Rempit bersatulah.(TT)-

Sesiapa yang bersimpati dengan Mat Rempit ambilah tulisan ini untuk kebaikan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...