pakaian renang muslimah













BAGI wanita yang segan menampakkan susuk tubuh di bahagian dada, sut renang corak penuh pilihan yang sesuai.



FABRIK lycra yang ringan dan berkualiti memberikan keselesaan kepada si pemakai ketika berada di dalam air.


BUTIK Seadear Niaga pada peringkat awal hanya menjual produk dan himpunan pakaian yang bertemakan percutian di kawasan pantai.

Antaranya adalah baju kemeja lelaki, blaus, seluar pendek dan dres mini ala Hawaii.

Namun tatkala menerima kunjungan pelanggan yang bertudung, mereka seringkali memohon maaf kerana tidak menjual sut renang bertudung. Bertitik tolak dari situ, pemilik butik tersebut mula memikirkan sesuatu untuk memenuhi permintaan pelanggan.

"Saya terfikir untuk menghasilkan pakaian renang Muslimah. Lagipun, produk berkenaan masih kurang dikeluarkan oleh syarikat tempatan.

"Lantas saya melayari beberapa laman sesawang syarikat antarabangsa yang membuat sut renang Muslimah. Saya mengkaji pemilihan fabrik, corak dan warna yang sesuai dengan masyarakat kita," jelas Pengarah Urusan Muslimah Burqini, Nur Shuhada Yaacob, 25, yang menghasilkan pakaian renang bercirikan Muslimah yang sopan.

Konsep fesyen sut renang Muslimah Burqini, tidak hanya terhad pada penggunaan warna hitam atau biru gelap seperti pakaian renang yang lain.

Bagi menciptakan kelainan dan menceriakan penampilan si pemakai, beliau menggunakan warna-warna terang dan ceria.

Pengguna mempunyai pilihan sama ada memilih warna biru terang dan putih, merah dan hitam, kuning dan hitam, hijau dan merah jambu.

"Lazimnya, wanita lebih cenderung membeli sut renang rona gelap kerana mahu menampakkan bentuk badan yang lebih kecil dan tidak kelihatan seksi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Namun usahawan muda yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan itu menjelaskan, selain rona gelap, warna-warna terang juga boleh membantu asalkan bijak memilih padanan warna dan corak yang sesuai.

Selain kepelbagaian warna, Shuhada turut menampilkan cetakan corak abstrak dan motif flora yang comel.

Jika dua tahun lepas wanita masih belum dapat menyesuaikan diri dengan sut renang bercorak, tetapi kini tidak lagi.

"Meskipun sut renang kami dibuat di Taiwan tetapi corak dan rekaan ini dihasilkan oleh kumpulan pereka Muslimah Burqini sendiri. Bagi kami corak sebegini sesuai dengan laut, air terjun atau kolam renang.

"Terdapat dua jenis cetakan corak iaitu renang bercorak pada keseluruhannya dan corak pada bahagian lengan dan skirt saja," kata Shuhada. Sut renang bercorak penuh sesuai untuk wanita yang kurang selesa menampakkan susuk tubuh terutamanya pada bahagian dada ketika mandi.

Fabrik lycra bermutu

Sambil menunjukkan topi yang didatangkan bersama sut renang, Shuhada memberitahu koleksi Muslimah Burqini diperbuat daripada fabrik lycra yang bermutu.

"Fabrik lycra antara fabrik terbaik untuk menghasilkan baju mandi. Ia ringan, selesa dan memudahkan pergerakan ketika berenang.

"Selain menitikberatkan soal corak dan jenis fabrik, kami juga memastikan rekaan yang diterapkan tidak melanggar landasan pemakaian Muslimah," ujar graduan Diploma Perniagaan Multimedia, Kolej Multimedia, Kuala Lumpur itu yang mengkhaskan skirt yang menutup bahagian depan dan punggung.

Pakaian sut renang pula tidak terlalu longgar dan tidak terlampau ketat.

"Konsep pakaian renang Muslimah Burqini bukan sahaja sesuai dipakai oleh wanita yang bertudung. Malah, ia juga boleh digunakan oleh wanita yang segan memakai baju mandi yang hanya menutup bahagian badan saja.

"Lagipun menariknya sut renang konsep Muslimah ia dapat melindungi kulit badan daripada panahan cahaya matahari," kata Shuhada lagi mengenai kesan calar, luka atau selulit yang boleh disembunyikan dengan pemakaian baju renang berlengan dan berseluar panjang itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...