antara negara islam dan negara berkebajikan (untuk ahli semua parti)

Saya mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut: "Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan".

Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS. Dalam masa yang sama bererti PAS terus bersama dengan gerakan Islam lain di dunia ini yang mula keluar dari retorik negara Islam kepada realiti kenegaraan yang sebenar yang diperlukan oleh manusia.

Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiah atau Islamic state seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ia satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah (decolonization).

Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut Darul Islam atau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam ketika itu. Apabila perkataan daulah Islamiah muncul, kemudian diikuti kebangkitan revolusi Syiah di Iran, maka perkataan itu mula dipopularkan oleh para pejuang politik islami di seluruh dunia.

Disebabkan istilah ini juga mereka berbalah bahkan menuduh pihak lain kurang Islam disebabkan tidak bersama dalam perjuangan menegakkan negara Islam itu. Walaupun kadang-kala pertentangan ada asasnya, namun sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai.

Cuma, sekian lama ramai gerakan Islam yang memperjuangkan istilah ini, mereka masih gagal menetapkan satu takrifan yang jelas dan realistik. Gambaran yang terlalu ideal tentang kenegaraan menjadikan negara Islam itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata.

Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan utopia state yang hanya wujud di minda, tidak mungkin pada realitinya.

Sebahagian mereka yang terlibat secara langsung dengan politik kenegaraan, mereka mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan. Kembali mereka merujuk kepada al-Quran, hadis, dan amalan khalifah Islam yang mendapat petunjuk (Khulafa al-Rasyidin), mereka akhirnya jelas mengapa perkataan negara islam itu tidak wujud atau tidak disebut.

Negara kebajikan yang mana?

Politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana. Namun, prinsipnya kekal. Ini kerana Islam satu agama realistik.

Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasul-Nya.

Bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya. Islam agama yang menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya.

Itulah negara yang dikehendaki oleh Islam. Soal mekanisme hukum - sama ada hudud atau tidak - dibincangkan setelah ditegakkan prinsip dan tanggungjawab utama, diwujudkan suasana yang kondusif yang memungkinkan keadilan dan keindahan hukum itu berfungsi.

Bukan masanya lagi. Tangguhkan dahulu isu-isu makanisme, tumpukan kepada tanggungjawab dan prinsip utama kenegaraan.

Sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih kehadapan, namun hari ini - dengan kenyataan presiden - akan memberikan nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.

Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud 'negara kebajikan' yang hendak diwujudkan. Saya percaya presiden PAS ada kerangka yang jelas. Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum membicarakannya secara meluas.

Ini kerana welfare state mempunyai pelbagai gambaran. Secara umum, dunia memahami welfare state adalah negara-negara yang memakai model Nordik seperti Norway, Denmark dan Sweden. Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis

Istilah 'wang pembayar cukai'

Istilah memainkan peranan penting dalam menyedarkan penggunanya dan pendengar.

Seringkali kali media melaporkan bantuan atau belanja yang dikeluarkan oleh kerajaan digambarkan seakan itu adalah harta kerajaan atau orang politik yang terbabit. Maka bantuan yang disalurkan seakan dari sifat pemurah kerajaan seperti disebut 'kerajaan bermurah hati membantu'.

najib visit kerdau 270211 01Rakyat seakan bagaikan peminta sedekah. Begitu juga apabila ada penyelewengan ataupun pembaziran, maka rakyat yang tidak faham merasakan yang rugi hanyalah kerajaan atau duit orang politik, sedangkan mereka lupa wang tersebut adalah wang mereka.

Maka di sini disebutkan beberapa perkara;

Samada kita sedar atau tidak, setiap rakyat negara ini membayar cukar kepada kerajaan. Ini merangkumi cukai pendapatan, cukai langsung dan tidak langsung.

Harga barangan yang kita beli dalam negara ini sebenarnya kita bayar bersama harga cukai. Di Malaysia kita membeli kereta dengan harga yang tinggi disebabkan faktor cukai.

mee seller stall hawker 141006Begitu juga segala barangan, makanan dan stesyen TV yang dibeli merangkumi harga cukai. Maka, setiap rakyat kena tahu bahawa mereka sebenarnya setiap hari membayar cukai kepada kerajaan. Justeru wang kerajaan adalah wang rakyat.

Maka, wang yang dibelanja oleh mana-mana kerajaan; samada BN atau Pakatan rakyat atau istana-istana dalam negara adalah wang rakyat yang membayar cukai secara langsung atau tidak langsung, sedar ataupun tidak sedar.

Bazir wang rakyat

Istilah 'wang pembayar cukai' atau taxpayers money, atau harta awam sepatutnya sentiasa dipakai dalam media dan ungkapan rakyat. Justeru, apabila kerajaan membelanja untuk sesuatu projek atau menyalurkan harta kepada mana-mana pihak, hendaklah dilapor atau disebut “kerajaan menggunakan wang pembayar cukai atau harta rakyat untuk projek itu dan ini”.

klcc new year celebration fireworks 2Jika berlaku pembaziran, hendaklah dilapor dan disebutkan “kerajaan telah membazirkan wang pembayar cukai, atau merosakkan harta awam, merugikan wang rakyat”.

Ungkapan ini penting supaya orang-orang politik sedar bahawa bantuan dan peruntukan yang mereka salurkan kepada rakyat bukan wang poket mereka, atau harta peribadi mereka sehingga mereka boleh mendabik dada bangga. Sebaliknya, ia sememang harta rakyat.

Begitulah rakyat, mereka tidak boleh tertipu dengan merasakan seorang-olah bantuan yang diumumkan oleh orang-orang politik itu dari 'harta persendirian' tokoh politik tersebut, sebaliknya ia memang harta rakyat yang diuruskan oleh orang-orang politik.

Peminta sedekah

Ini boleh mengelakkan perasaan rakyat yang merasakan mereka bagaikan peminta sedekah kepada kerajaan dan mengelakkan orang-orang politik lupa diri terhadap wang awam yang mereka belanja atau istiharkan dalam kempen politik mereka.

malaysia poor indian community poverty 230807Sesebuah kerajaan bukan dipuji kerana mereka berbelanja dengan wang rakyat atau wang pembayar cukai itu, tetapi mereka dipuji kerana pengurusan yang cemerlang dan amanah dalam mengendalikan harta awam atau harta rakyat.

Ertinya, jika kerajaan berjaya mengendalikan harta rakyat dengan cemerlang dan amanah, maka kerajaan itu dipuji dan disokong, begitu juga sebaliknya.

Istilah 'taxpayer money', atau 'taxpayer funds' atau 'taxpayers dollars' sering digunakan dalam media negara maju apabia memperkatakan tentang pembelanjaan ataupun pembaziran oleh pihak kerajaan.

Istilah seperti ini sebenarnya boleh membantu mengelakkan kecuaian kerajaan dan dalam masa yang sama boleh menyedarkan rakyat tentang hakikat wang yang digunakan oleh pihak kerajaan. Istilah ini juga patut dihidupkan dalam negara kita.


Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Feb 27, 11
10:50pm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...