Apa masalah dengan Pasukan Bola Sepak Malaysia?

 Menyaksikan permainan pasukan bola sepak kebangsaan sepanjang Pestabola 2008 yang baru lalu, saya pelik kenapa pasukan bola sepak kebangsaan tidak mempunyai kualiti bertaraf pasukan kebangsaan langsung.membuat Realitinya pasukan kebangsaan masih berada dalam zaman kejatuhan yang sangat kritikal. Nampaknya usaha menempat pasukan bola sepak kebangsaan untuk berada dalam kumpulan pasukan bertaraf dunia masih terlalu jauh. Amat jauh !


Pertamanya, sekali-sekala apabila saya berpeluang menonton permainan pasukan kebangsaan saya seringkali melihat bahawa pasukan kebangsaan sebenarnya kelihatan tidak berstamina atau tidak bertenaga. Pergerakan pemain kelihatan lembik lutut, tidak kelihatan sasa, mudah jatuh apabila diasak secara fizikal oleh pemain lawan, larian yang tidak cantik, laju dan kelihatan lemah. Kenapa tiada yang mempunyai larian seaggresif dan secantik larian Jamal Nasir , Mokhtar Dahari atau Abdullah Ali.

Saya pelik pemain-pemain dahulu tidak mudah jatuh, sangat lasak dan sangat aggresif, sangat rajin dalam pergerakan walaupun serendah Wan Zawawi atau Hamzah Husin tetapi pemain yang ada hari ini tidak seperti itu. Ini menunjukkan gaya pergerakan dan larian sebenarnya adalah aspek stamina yang boleh dibentuk. Pemain yang ada dalam pasukan kebangsaan kini masih tidak terbentuk dari segi ini.

Pada pandangan saya, untuk bermain di pertandingan bertaraf dunia pemain-pemain bola sepak Malaysia mesti mampu bermain selama 180 minit secara bertenaga dan aggresif seperti pemain Korea Selatan dan Jepun. Jika tidak mampu mencapai standard tersebut, lebih baik tak usah bermimpi untuk menjadi pasukan bertaraf dunia.

Tak perlu kita mempunyai banyak alasan. Apakah pemain-pemain kita mampu bermain selama itu dengan penuh bertenaga ? Saya bukan pakar permainan bola sepak, cuma hanya peminat bola sepak sahaja. Kelemahan kedua yang sangat ketara pada pandangan saya ialah ialah faktor kemahiran (skill) yang lemah. Dari apa yang saya lihat beberapa tahun kebelakangan ini pemain-pemain Malaysia sangat lemah dari segi kemahiran permainan bolasepak. Hantaran yang tidak tepat. Kawalan bola yang longgar. Cara menampan bola yang lemah dan paling utama tendangan yang sering tidak menepati sasaran.

Bayangkan pasukan bola sepak kebangsaan mempunyai pemain yang tidak menguasai kemahiran asas bola sepak !Mampukah pasukan yang seumpama ini berada dalam pasukan bertaraf dunia? Kita masing-masing ada jawapannya.

Kemahiran berfikir yang cukup lemah juga merupakan antara faktor yang menghantui kredibiliti pasukan kebangsaan. Lemah dalam membuat keputusan dalam permainan akhirnya permainan menjadi hilang fokus. Kelemahan ini seringkali dimanipulasi oleh pasukan lawan. Apa yang saya nampak pemain-pemain kini bermain " asal kejar bola dan asal dapat sentuh bola" maka itulah bermain bolasepak! Saya pelik kenapa Pengurus dan jurulatih tidak nampak perkara ini ? Atau sudah berkemahirankah pemain yang mereka bimbing itu sebenarnya? Kalau mereka kata pemain mereka sudah berkemahiran, maka percayalah, tahap itulah mereka selama-lamanya, merudum lagi mungkin!

Perkara kemahiran pemain ini, peminat-peminat dan pengulas bolasepak sudah nampak 10 - 15 tahun yang lalu dan hari ini keadaan tetap macam itu juga. Faktor ketiga ialah disiplin. Pemain-pemain bola sepak Malaysia sebenar tidak mempunyai disiplin permainan yang berkualiti. Mereka lebih mementingkan glamour dari disiplin permainan. Malas mengejar bola, malas merebut bola, malas berfikir dalam permainan, lebih kepada mahu menunjuk stailo dan fesyen terutama fesyen rambut dari menunjukkan cara bermain yang berdisiplin dan komited.

Ada di antara pemain yang bersikap ego dan tidak boleh ditegur secara aggresif. Teguran mesti dengan lembut jika tidak pemain akan merajuk. Bayangkan pemain Korea Selatan ditampar oleh jurulatih ! Saya tidak minta pemain Malaysia ditampar tetapi saya hendak tunjukkan satu sikap pemain yang profesional dan berdisiplin. Sanggup baiki mutu permainan walau ditegur dengan apa cara sekali pun. Bagi pemain Korea Selatan dan Jepun, jurulatih dan pengurus pasukan tetap pembimbing dan penunjuk ajar utama yang perlu dihurmati walau dengan apa cara dan keadaan sekali pun.

Faktor keempat pengurusan pasukan iaitu Pengurus pasukan dan jurulatih yang sambil lewa, tidak kreatif dan tidak berintegriti dan pengurusan yang tidak profesional. Sudah berapa kali kita terdengar sukan bolasepak negara terbabit dengan rasuah bolasepak dan pengurusan yang pilih kasih. Standard dan sistem kerujulatihan juga seperti masih ditakuk lama. Saya khuatir modul kejurulatihan yang lemah dan tidak mempunyai perancangan strategik dan standard kualiti pasukan bertaraf dunia. Hasilnya pasukan bola sepak kita tergolong dalam kategori kelas ketiga atau lebih malang jika tidak berkelas.Faktor kelima, pengendali FAM itu sendiri mesti berubah. Pengurusan yang seringkali melanggar etika profesionalisma pengurusan bolasepak perlu ditiadakan di FAM.

Jika faktor-faktor yang dinyatakan di atas ini tidak diatasi segera, janganlah kita mengharap pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia akan menjadi antara pasukan terbaik dunia seperti yang berjaya dicapai oleh Korea Selatan, Iran, Jepun, Turki dan China. Kita mungkin hanya setaraf pasukan Mali dan Sierrra Leone!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...