Komen Ustaz Zaharuddin Tentang Kenaikkan Harga Minyak

Kenaikan harga minyak petrol dan diesel bermula 5 Jun 2008 dan tariff elektrik mulai 1 Julai 2008 menyebabkan rakyat Malaysia ramai yang mencarut, memaki dan marah, hal ini dapat dilihat di sana sini.

Ada yang tidak boleh tidur memikirkan cara mengurus belanjawan baru keluarga. Bagi keluarga yang berpendapatan jenis ‘cukup-cukup makan sebulan' pasti semakin resah dan marah, sedih dan rasa terzalim.

Di Malaysia kita ini, sebenarnya banyak isu selain kenaikkan harga-harga ini, kita ada isu murtad, riba, syirik, bomoh, tangkal, zina, maksiat, culik, sumbang mahram dan pelbagai lagi.

Namun dari banyak-banyak isu, isu kenaikan harga beras dan minyak ini yang paling meriah sambutannya dari masyarakat. Hiruk pikuk dari segenap blog dan media.Kenapa? ?!!

Inilah realiti masyarakat kita, kehidupan dunia sangat memberi kesan kepada minda dan hati. Berbanding kenaikan pelbagai masalah berkaitan agama yang hanya mendapat sambutan beberapa kerat kumpulan masyarakat sahaja. Malah tidak dipedulikan oleh majoritinya.

Mudahnya, apabila perut sendiri tergugat dan libatkan dunianya yang DIKASIHI barulah ramai mahu bising dan protes. Selagi belum mengenai mereka dan hanya mengugat hal ghaib akhirat sahaja, JARANG DIHIRAUKANNYA.

Kita patut bimbang dengan iman kita sekarang ini, sangat patut bimbang. Kelihatan pengaruh dunia sangat mendalam kesannya dalam jiwa.

Jika sekiranya kedua-dua jenis isu dunia dan akhirat mendapat perhatian anda sejak sekian lama. Tahniah saya ucapkan, teruskan menjaga imanmu tersebut wahai teman.

Sebagai mengulas ringkas isu kenaikan harga ini, berikut beberapa fakta secara ‘adil' dan ulasan ringkas dan spontan saya (spontan ini menyebabkan mungkin saya ada terlepas pandangan aspek-aspek lain) :-

FAKTA : Harga sebenar petrol ialah RM3, tetapi kerana kerajaan memberi diskaun 30 sen, pengguna hanya membayar RM2.70 seliter.

ULASAN :

Terima kasih namun mengurangkan subsidi dalam sebuah masyarakat yang belum bersedia akan pasti menyakitkan orang awam berpendapatan rendah dan sederhana. Maksud saya ‘bersedia' antaranya :

1- Ilmu dan skill . Purata masyarakat Malaysia terutamanya bumiputra masih terkial-kial dan mencari kehidupan dan pendapatan secara sihat. Skim cepat kaya, pelaburan haram interent, perjudian sms, rancangan hiburan masih bersarang dalam minda kebanyakkan mereka. Masyarakat sebegini masih manja dan perlukan perancangan terbaik dari kerajaan dari sudut pendidikan dan kewangan.

2- Penghapusan Rasuah : Selagi rasuah menggila dalam Negara ia pasti menyekat perkembangan skill dan kemampuan diri rakyat. Maka apabila subsidi dikurangkan, kumpulan kurang pendapatan akan terus tertindas disebabkan rasuah. Malah lebih dahsyat, rasuah akan bertambah pula akibat dari segala kenaikan ini. Lihat sahaja Negara-negara maju, pra syarat mereka adalah mesti minimakan rasuah dahulu.

3- Gaji minima ; Gaji minima diperlukan bagi membantu masyarakat kurang pendapatan mengharungi kenaikan demi kenaikan ini. Adalah amat dihargai jika gaji miniam dapat dinaikkan sedikit agar rakyat pendapatan rendah boleh menikmatinya sedikit. Gaji minima di negara-negara yang mengapungkan harga minyak mereka adalah tinggi, ini seimbang dengan harga minyak, adapun Negara kita tidak sedemikian dan kita juga belum mampu untuk menawarkan gaji minima yang tinggi.

4- Harga kereta belum wajar : Baik juga jika harga kereta sepatutnya di buka mengikut harga pasaran sebenar juga. Menurut faktanya harga kereta di Malaysia adalah antara yang termahal. Biar semua berlumba-lumba menjadi lebih kompetitif seperti Air Asia dan MAS. Mereka berlumba-lumba menawarkan harga rendah. Namun keuntungan mereka masih juga bertambah.

5- Pengangkutan Awam Belum Sedia : Saya jarang menggunakan pengangkutan awam namun saya sedar akan kurang mampunya pengangkutan awam ini untuk menampung keperluan dan permintaan sekiranya semakin ramai ahli masyarakat ingin beralih dari kenderaan sendiri kepada pengangkutan awam. Ringkasnya, ia masih belum cukup efisyen.

FAKTA : Diskaun 30 sen diberi bagi setiap liter minyak. Jika harga minyak di pasaran dunia turun, penyelarasan akan dibuat sebulan sekali, tetapi kadar diskaun 30 sen itu akan tetap diberikan.

ULASAN :

Wallahu'alam, menurut pandangan saya, ia kelihatan baik dan wajar. Namun dalam konteks realiti yang sudah naik sebegini sukar untuk turun kembali.

FAKTA : Rebat tunai bahan api akan dibayar oleh kerajaan kepada pemilik kenderaan selepas mereka membayar cukai jalan.

ULASAN :

Saya kira ini adalah teknik kerajaan agar memastikan semua pengguna yang berkelayakan membayar cukai jalan, ini mungkin kerana ramai pengguna jalanraya tidak punyai road tax yang sah. Ia serampang dua mata.

Bagaimana pula bagi keluarag miskin yang tiada kenderaan bermotor langsung?. Walaupun mereka tidak perlu mengisi minyak namun mereka masih perlu membeli barangan yang diangkut menggunakan kenderaan penjual. Sudah tentu si penjual akan menaikkan harga barangnya kelak. Bagaimana dengan rebate bagi kumpulan sasar sebegini?

Apa yang boleh membantu mereka. Kita bimbang mereka akan menjadi semakin miskin dan susah. Moga Allah membantu mereka.

FAKTA :

a- Bayaran tunai RM625 setahun diberikan kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pick up dan jip berkapasiti sehingga 2,500cc. Pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc pula mendapat bayaran tunai RM150 setahun.

b- Cukai jalan dikurangkan sebanyak RM200 kepada pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak tergolong dalam kategori itu.

c- Pemilik motosikal berkapasiti enjin lebih 250cc mendapat pengurangan cukai jalan RM50.

ULASAN

Saya kira ia sebenarnya cuba bertoleransi dengan kumpulan pendapatan sederhana dan cuba mengenakan kenaikan kepada kumpulan sasar kaya sahaja. Dalam hal ini, kerajaan dilihat meletakkan cc kenderaan sebagai kayu ukur, individu itu kaya atau miskin. 2000cc kereta dan 25cc ke atas dikira kaya lalu tidak layak mendapat sebarang subsidi rebate dan petrol (kecuali 30sen sebagaimana di atas).

Persoalannya, betulkah kayu ukur sebegini?

Kerajaan juga cuba toleransi dengan memberikan rebate cukai jalan sebanyak RM200 kepada pemilik kenderaan mewah. Ini bermakna, orang berpendapatan sederhana mendapat RM625 setahun dan orang kaya dapat RM200 setahun. Sebenar jumlah RM625 setahun hanya mungkin cukup untuk 'cover' harga beras untuk kegunaan satu-satu keluarga.

FAKTA : Harga gas memasak LPG dan gas asli kenderaan NGV kekal pada harga lama.

ULASAN

Terima kasih. Perlu diteruskan.

FAKTA : Kira-kira 59 peratus isi rumah di Malaysia yang menggunakan elektrik pada kadar 200 kilowat jam atau kurang RM43.60 sebulan tidak akan terjejas dengan struktur baru tarif elektrik.

ULASAN :


Satu tindakan yang mungkin kurang toleransi, adalah lebih wajar jika kenaikan demi kenaikan ini dibuat secara ansuran dan sedikit demi sedikit. Kita baru sahaja menghadapi kenaiakn harga beras sebanyak 80-100%. Kini diikuti minyak dan seterusnya tariff elektrik.

Harga besi dan lain-lain juga baru sahaja naik, yang membawa kesan kenaikan harga rumah dan sudah tentu sewa,

Saya faham, diwartakan penggunaan yang MELEBIHI 200 kilowatt atau RM43.60 sahaja yang AKAN NAIK. Adapun kurang dari itu TIDAK BERUBAH. Ia jelas cuba mengenakan kumpulan sasar orang kaya dan tidak mengenai golongan miskin yang kurang menggunakan elektrik secara puratanya.

Namun demikian, apabila tarif elektrik lebih RM43.60 ini naik, kilang-kilang yang menghasilkan barang makanan dan industri akan menganggung kos tambahan. Pastinya semua barang akan naik lagi. Peniaga juga pastinya menggunakan kenderaan untuk menghantar barangan. Apabila harga minyak naik, sekali lagi peniaga mendapat sebab munasabah untuk menaikkan harga. Akhirnya sampai juga kesan kenaikan kepada kumpulan miskin yang menggunakan tarif 43.60 sahaja. MAKA SEPATUNYA SABAR-SABARLAH UNTUK MENAIKKAN BEBAN ASASI.

KESIMPULAN RINGKAS

Rakyat miskin yang tiada kenderaan, terabai? Yang punyai kenderaan kurang 2000cc dapatlah RM625 setahun, pemilik kenderaan 2000cc ke atas dapat berjimat RM200 dari cukai jalan? Itu sahaja?.

Bagaimana dengan pertambahan pendapatan kerajaan. Ini yang perlu didedahkan secara telus. Malah ia juga menyebabkan Tun Dr Mahathir membuat kira-kira mudah :-

"Can the Government subsidise? I am the "adviser" to Petronas but I know very little about it beyond what is published in its accounts. What I do know may not be very accurate but should be sufficient for me to draw certain conclusions.

Roughly Malaysia produces 650,000 barrels of crude per day. We consume 400,000 barrels leaving 250,000 barrels to be exported.

Three years ago the selling price of crude was about USD30 per barrel. Today it is USD130 - an increase of USD100. There is hardly any increase in the production cost so that the extra USD100 can be considered as pure profit.

Our 250,000 barrels of export should earn us 250,000 x 100 x 365 x 3 = RM27,375,000, 000 (twenty seven billion Ringgit).

But Petronas made a profit of well over RM70 billion, all of which belong to the Government.

By all accounts the Government is flushed with money.

But besides petrol the prices of palm oil, rubber and tin have also increased by about 400 per cent. Plantation companies and banks now earn as much as RM3 billion in profits each. Taxes paid by them must have also increased greatly.

I feel sure that maintaining the subsidy and gradually decreasing it would not hurt the Government finances."

FAKTA : Kerajaan akan memperoleh penjimatan subsidi sebanyak RM13.7 bilion setahun yang akan digunakan untuk subsidi produk makanan rakyat negara ini.

ULASAN :

Bagus dalam perancangan untuk subsidi makanan, namun subsidi makana diambil dari subsidi minyak. Maka harga makanan akan pasti naik juga. Justeru pusing-pusing semuanya ke satu destinasim, iaitu HARGA NAIK!. Gaji minima untuk kumpulan sasar miskin, masih tidak diperbaiki . Golongan bumiputra yang paling ramai miskin.

Saya juga bimbang, lagi terdesak orang bumiputra kita, lebih mudah mereka ditipu dan diperangkap oleh penyangak Ah-long, skim cepat kaya, MLM piramid, peraduan pelik, peraduan melancong percuma, elaun lumayan dari khidmat hantar barang (dadah) di keluar negara dan lain-lain. Akhirnaya semakin terdesak. Semuanya kononnya ingin mencari side income selain kerja full time mereka.

PANDANGAN ISLAM

Sukar untuk saya menulis kesemuanya di waktu ini, mudahnya tanggungjawab sebuah kerajaan menurut Islam memang tidak mudah. Pandangan mereka perlu sentiasa lebih hadapan dari pemikiran rakyat biasa. Kerana itulah mereka pimpinan mesti dilantik dari mereka yang berkelayakan.

Mereka perlu bermiskin dahulu berbanding rakyat. Apa sahaja yang kurang merekalah yang perlu menyalurkan pendapatan mereka demi kebaikan rakyat. Mimpikah kita untuk mendapat pemimpin sebegini?

Demikian sedikit pandangan spontan saya berkenaan isu terkini terhangat. Anda juga bebas menolak dan menerimannya. Cuma dinasihatkan jangalah ada yang memaki dan mencarut di ruangan komentar saya ye. Cukuplah memberi idea dan komentar atau kritik dalam bentuk berhemah. Agar semua dapat manfaat termasuk saya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin. net

5 Jun 2008

Agama Bukan Candu Untuk Mengkhayalkan Orang Miskin

“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).

Saya tertarik apabila membaca membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.

Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga.

Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong? Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitul mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabiNya s.a.w. (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al-Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).

Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun –atas pemintaan penaja yang membayar harga ceramah- akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat.

Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis-menangis –seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah- bercerita kepada mak cik-makcik yang kusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’.

Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk pengajur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc. Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas.

Maka insaflah mak cik dan pak cik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka.

Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?”. Sebelum harga minyak naik, telah sekian mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup di kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.

Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan.

Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27).

Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar. Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.

Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.

Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk ‘mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah?

Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?. Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’.

Apakah patut di saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka. Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat.

Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?. Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan.

Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua.

Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma’ruf dan al-An-Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan.

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).

Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini.

Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat. Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa.

Saya kadang-kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat?

Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan RasulNya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan RasulNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.

Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana.

Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekat kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program tv lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang?

Di masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.

10 manfaat seks teratur

1. Awet muda
Menurut kajian, orang yang melakukan hubungan seksual tiga kali dalam seminggu akan dilihat empat sampai tujuh tahun lebih muda dari usia sebenar. Sebabnya seks merupakan bentuk olahraga yang memberikan keremajaan kulit. Hubungan seks dilakukan dengan penuh semangat bererti lebih banyak oksigen yang dihantar ke tubuh melalui darah selain membawa nutrisi ke permukaan kulit.

2. Tubuh jadi cergas
Meskipun seks bukan cara paling efektif untuk menurunkan berat badan, tapi anda tetap dapat membakar banyak aktiviti melalui rutin ini. Anda dapat membakar antara 100 dan 250 kalori per jam dan anda juga olahraga otot-otot secara menyeluruh.

3. Kekal langsing
Hubungan seksual meningkatkan tahap insulin seperti faktor penggalak (IGF) yakni hormon yang dapat mengawal aktiviti enzim dalam sel-sel yang bertanggung jawab pada metabolisme lemak. Tahap IGF lebih tinggi akan membantu menghancurkan lapisan lemak.

4. Meningkatkan kekebalan
Kajian telah menunjukkan bahawa orgasma dapat membantu merangsang sistem kekebalan. Ia meningkatkan tahap T3 dan T4 sel lymphocyte iaitu sejenis sel darah putih yang dapat menghasilkan antibodi dan menyerang jangkitan sebanyak 20 peratus.

5. Meningkatkan mood
Ketika seorang wanita mencapai orgasma, mereka mengeluarkan hormon seks yang disebut oksitoksin. Ia dihasilkan oleh bahagian dasar otak. Hormon ini dapat membangkitkan perasaan emosional seperti kemesraan dan saling mendorong yang membantu meningkatkan pertalian di antara dua insan.

6. Mengurangkan tekanan
Ada bukti ilmiah yang kuat bahawa orgasma dapat menyumbang kepada pengeluaran endorfin iaitu bahan kimia yang dikeluarkan otak serta bertindak sebagai penahan sakit yang efektif.

7. Membantu mencegah penyakit jantung
Seks memiliki kebaikan khusus bagi lelaki, terutama jika mereka berumur 40 tahun ke atas. Rutin seks yang teratur dapat membantu meningkatkan hormon testosteron sekali gus melindungi jantung.

8. Membantu kelancaran perjalanan darah
Seks adalah olahraga yang dapat meningkatkan perjalanan darah. Ia akan membantu oksigen dan nutrisi mengalir dalam aliran darah dengan lebih mudah.

9. Memanjangkan umur
Sekiranya seks teratur mampu memberikan tubuh dan kehidupan lebih sihat sudah tentunya risiko penyakit akan semakin kurang. Umur juga jika diizinkan Tuhan akan lebih panjang.

10. Menurunkan risiko kehamilan
Satu kajian yang dilakukan pada tahun 1994 mendapati bahawa wanita yang melakukan seks dalam hubungan jangka panjang memiliki risiko komplikasi lebih kecil dalam masa kehamilan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...