Jika kita lihat dalam sejarah, kejatuhan empayar dan dinasti ialah bermula apabila mereka bersikap tidak tolerance
sehingga dalam negara berlaku banyak konflik antara rakyat. Kerajaan
bersifat kepuakan dan gagal menaungi inspirasi rakyat yang pelbagai.
Politik pecah perintah mungkin menguntungkan golongan politik tertentu
untuk sementara waktu, tetapi akhirnya akan menjadikan negara porak
peranda.
Firaun mengamalkan politik yang sama yang
akhirnya menjatuhkan kerajaannya yang penuh bersejarah. Firman Allah:
"Sesungguhnya Firaun telah melampau di bumi (Mesir), dan dia menjadikan
penduduknya berpuak-puak. Dia menindas satu puak kalangan mereka dengan
membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak
perempuan mereka. Sesungguhnya dia dari golongan yang membuat kerosakan.
Dan Kami (Allah) hendak memberikan kurnia kepada kaum yang tertindas di
negeri itu, dan Kami (Allah) hendak menjadikan mereka
pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang
mewarisi (peninggalan Firaun)." (Surah al-Qasas ayat 4-5).
Malaysia
Jika
kita lihat keadaan negara ini, kita dapati telah lahir ciri-ciri negara
ataupun kerajaan di penghujung hayat. Negara ini sejak kebelakangan ini
penuh dengan konflis yang memecah belahkan antara rakyat. Konflik
antara agama dalam pelbagai isu yang mana kerajaan kadang-kala mengambil
pendekatan yang kurang seimbang. Golongan agama rasmi pula dibiarkan
memilih pandangan-pandangan yang bersifat yang tidak sesuai serta sempit
untuk masyarakat majmuk. Bermula dari isu larangan orang bukan Muslim
masuk masjid sehingga ke isu kalimah Allah kelihatan ditangani dengan
nada yang mencetuskan ketegangan antara rakyat. Kenyataan-kenyataan yang
bersifat provokasi seakan mendapat tempat dalam media rasmi negara.
Demikian
isu-isu perkauman dibangkitkan dalam pelbagai rupa. Golongan yang
bersifat rasis memainkan peranan mereka. Sebelum pilihanraya kita lihat
isu-isu agama dan kaum yang bersifat provokatif serta berpotensi
mencetuskan ketegangan dan rusuhan seakan digalakkan. Kemudian selepas
itu, dipanaskan dengan isu-isu mazhab dan aliran fikir dalam Islam.
Pegawai KDN yang sepatutnya bertugas menjaga kedamaian negara, bertindak
bagaikan batu api yang boleh mencetuskan kebencian dan salah sangka
rakyat terhadap kerajaan.
Golongan agamawan
bergaji dan tidak bergaji, dihasut oleh beberapa orang dari aliran
pengkafir umat iaitu Ahbash yang dalam rekod mereka telah berjaya
menimbulkan ketegangan mazhab dan pertumpahan darah di Lebanon sehingga
membawa pembunuhan antara aliran di sana. Kini mereka meresap ke dalam
negara ini.
Kerajaan tidak boleh terbabit dengan
perbalahan aliran fikir. Kerajaan dalam era dunia terbuka hari ini
hendak bersifat penaung yang melindungi kebebasan setiap rakyat dengan
syarat tidak menggugat keamanan awam. Kerajaan yang matang dan
demokratik akan menangani perbezaan rakyat dengan cara yang bijaksana.
Kerajaan hendaklah tahu apabila kita mengiktiraf kewujudan sesuatu
aliran, bukanlah bererti kita mengakui kebenarannya. Jangan keliru
antara mengiktiraf kebenaran di sudut akidah ataupun fekah, dengan
mengiktiraf hak kewujudan di sudut politik. Kita mungkin tidak
mengiktiraf kebenaran agama dan aliran tertentu, tapi kita mengiktiraf
kewujudan dalam negara selagi mereka mematuhi undang-undang negara.
Kepelbagaian
Kebenaran
itu boleh menjelma dalam pelbagai ungkapan sekalipun berbeza-beza puak
dan aliran. Sebahagian perbezaan itu hanyalah pada cara ia dibahaskan
tetapi natijahnya sama iaitu menuju kepada kebenaran. Kerajaan tidak
boleh terikut-ikut dengan golongan fanatic perkauman ataupun
aliran yang mencetuskan huru-hara antara rakyat disebabkan perbezaan
ungkapan dan ucapan, padahal maksudnya sama.
Saya
tertarik dengan kisah tokoh besar ilmu kalam iaitu al-Imam Abul Hasan
al-Ash'ari (meninggal tahun 330H) yang dinobatkan sebagai benteng Ahlus
Sunnah wal Jama'ah dalam menghadapi serangan falsafah. Kata al-Imam
al-Zahabi (meninggal 748H) meriwayatkan daripada Zahir bin Ahmad
al-Sarakhsi kisah akhir hayat al-Imam Abul Hasan al-Asy'ari: "Apabila
ajal menghampiri Abul Hasan al-‘Asy'ari di rumahku di Baghdad, beliau
memanggilku. Aku pun datang. Beliau berkata: 'Aku bersaksi bahawa aku
tidak mengkafirkan seseorang pun dalam kalangan ahli Kiblat (mereka yang
bersolat). Ini kerana setiap orang menuju kepada Tuhan Yang Satu Yang
Disembah. Hanya semua ini (perbezaan yang ada) adalah perbezaan ungkapan
semata'.
Kemudian al-Imam al-Zahabi menyebut:
"Demikian juga guru kami Ibn Taimiyyah pada akhir hayatnya berkata: "Aku
tidak mengkafirkan seseorang pun dari umat ini. Nabi SAW bersabda:
"Tiada menjaga wuduk melainkan seorang mukmin", maka sesiapa yang
melazimi solat dengan wuduk maka dia muslim." (Siyar A'lam al-Nubala, 15/88. Beirut: Muassasah al-Risalah)
Remeh temeh
Kemudian,
isu-isu remeh digunakan dalam untuk menimbulkan ketegangan dalam
masyarakat. Kuasa agama cuba diheret bersama. Penguasa seakan membiarkan
kekalutan ini. Label-melabel dijadikan mainan yang dicampur kuasa
pentadbiran. Sebahagian golongan intelek Melayu dilebelkan sebagai liberalist dan diancam dengan kuasa politik. Ada yang dilabel wahabi dan digunakan kuasa pentadbiran.
Untuk membincangkan masalah theology dalam
kalangan intelek tidak mengapa. Namun campur tangan kuasa politik dan
kuasa agama serta kesempatan yang ambil oleh pihak yang berkepentingan,
boleh mencerumuskan negara ke dalam kegawatan.
Hendaklah
kita tahu dalam sejarah golongan agama sama ada Yahudi, Kristian dan
juga Islam mereka sering mengambil pendekatan memfitnah orang yang
berbeza dengan mereka dan mencari penguasa untuk menghukum lawan ataupun
pesaing mereka. Ini kerana golongan agama - kecuali yang ikhlas -
sering mengumpulkan pengaruh seperti yang dilakukan oleh orang politik
dan rela mempertaruhkan apa sahaja untuk survival pengaruh mereka. Rela
membunuh dan menyeksa pihak yang berbeza. Inilah yang dilakukan terhadap
al-Imam al-Syafi'i, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Taimiyyah dan
lain-lain. Dalam sejarah agama Kristian inilah yang berlaku terhadap
Martin Luther dan aliran Protestan.
Di satu sudut
yang lain, golongan agamawan jenis ini menyibukkan diri dalam isu-isu
remeh yang tidak memberikan banyak manfaat kepada rakyat seperti isu
qunut subuh ataupun tidak. Padahal itu hanya perkara sunat dalam mazhab
Syafi'i. Demikian juga dianggap Wahabi mereka yang mereka solat tarawih
lapan rakaat. Padahal rakyat Malaysia yang solat lapan rakaat tarawih
bukan kerana Wahabi ataupun tidak. Saudi yang dikatakan Wahabi itu solat
20 rakaat. Di mana Wahabinya? Itu berdasarkan keadaan masing-masing.
Patutnya golongan ustaz ini sibuk dengan yang langsung tidak solat.
Malangnya
dalam masa yang sama, ramai golongan agamawan berjawatan ini tidak pula
menyibukkan diri dengan isu-isu masyarakat yang penting untuk rakyat
seperti pandangan Islam tentang ketelusan, rasuah, cukai, isu-isu yang
dibangkitkan oleh audit negara, pembaziran dalam kerajaan-kerajaan
negeri dan pusat, soal social justice dan pelbagai lagi yang sangat penting dalam Islam.
Konflik
Hasilnya,
negara terjerumus dalam konfliks tidak berfaedah. Dari satu konflik
kepada satu konflik. Ia menafikan sifat negara yang mahu maju ke
hadapan. Ia hanya memesongkan rakyat dari isu-isu penting yang lain dan
mengheret mereka kepada pergaduhan sesama sendiri. Dalam satu keadaan
mungkin pemerintah beruntung kerana rakyat tidak tertumpu kepada menilai
pemerintah kerana sibuk dengan isu pinggiran. Namun dalam jangka
tertentu ketegangan boleh membawa kebencian dan seterusnya
ketidaksetiaan kepada negara mungkin boleh berlaku.
Maka,
kini negara kelihatan berselerakan. Badan-badan agama sibuk mencari
isu-isu perbezaan bukan nilai-nilai persamaan untuk diambil manfaat
antara rakyat. Orang politik tumpang sekaki. Slogan 1Malaysia yang
meraikan perbezaan dan menghidupkan kesatuan antara rakyat menjadi
slogan kosong yang tidak bermakna.
Akhirnya
kelompok-kelompok minoriti walaupun berbeza antara satu sama lain,
tetapi bersatu atas satu asas iaitu membenci kerajaan dan pengurusan
kerajaan yang ada. Lalu mereka menjadi majoriti. Jika mereka itu
terlebih ekstrim, mereka mungkin mencari jalan menimbulkan ketegangan
balas. Golongan muda dan berminda terbuka menganggap kerajaan ini tidak
layak mengepalai politik yang sederhana dan bersikap terbuka serta adil
dalam penilaian. Kelompok berpendidikan dan moderate inginkan
keharmonian dan keadilan untuk semua. Maka kerajaan ini menjadi makin
tidak popular dalam kalangan cerdik pandai yang menjadi tulang belakang
negara. Negara pun mula reput, kedamaian mula diragut dan berada di
penghujung hayatnya.
- Dr Mohd Asri Zainul Abidin
- Nov 30 2013