berkesankah minuman tenaga?

Minuman tenaga tidak boleh disamakan dengan minuman isotonik, yang diminum untuk memastikan tahap hidrasi ketika bersukan.


PELBAGAI jenama minuman tenaga kini memenuhi pasaran. Strategi sesetengah jenama yang menyertakan vitamin tertentu dianggap usaha memberi imej positif mengenai kandungannya.


Banyak jenama minuman tenaga diperkenalkan dalam pasaran dan pengambilannya menjadi ikutan di kalangan remaja dan dewasa hari ini.

Namun, ramai yang masih keliru antara fungsi penambah tenaga dengan fungsi isotonik bagi beberapa jenama minuman yang disukai ahli sukan.

Rata-rata jenama minuman tenaga yang popular di pasaran mengandungi sekurang-kurangnya 80 miligram kafein dalam setiap tin.

Kandungan tersebut adalah sama banyak dengan secawan kopi bru dan dua kali ganda kandungan kafein dalam secawan teh.

Namun, ada sesetengah minuman tenaga mengandungi kandungan kafein yang lebih tinggi.

"Fungsi kafein dalam kopi atau teh malah sesetengah minuman berkarbonat memang tidak perlu diperjelaskan.

"Cuma kesan stimulasi akibat mengamalkan minuman tersebut secara berterusan dikhuatiri boleh membawa kepada ketagihan," kata Pakar Pemakanan dan Dietetik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof. Dr. Fatimah Arshad.

Selalunya, kandungan kafein dalam minuman tenaga ini tidak dijelaskan secara terperinci di labelnya, maka adalah sukar untuk mengagak sebanyak mana yang telah diminum sebenarnya.


MINUMAN tenaga popular di kalangan mereka yang aktif.


Minuman tenaga tidak boleh disamakan dengan minuman isotonik yang diminum bagi memastikan tahap hidrasi ketika bersukan.

Minuman isotonik membekalkan karbohidrat dalam bentuk gula dan elektrolit yang akan disingkir melalui perpeluhan.

Sedangkan, kandungan kafein dalam minuman tenaga bertindak sebagai agen diuretik yang menyebabkan dehidrasi.

"Pengguna perlu memahami bahawa minuman tenaga ini bukan sahaja tinggi kandungan gula, malah sesetengah produk hanya menawarkan ramuan yang berkalori kosong iaitu tidak disertai dengan zat-zat lain," kata Fatimah.

Tambah Fatimah, adalah penting bagi seseorang untuk memahami fungsi gula, elektrolit dan kepentingan zat-zat lain yang diproses dalam tubuh. Beliau tidak menafikan bahawa terdapat minuman tenaga yang mengandungi vitamin tambahan.

Kandungan gula dalam minuman tenaga adalah sumber tenaga pantas. Vitamin B, misalnya, ditambah ke dalam formula minuman ini sebagai strategi pemasaran yang memberikan jenama itu suatu imej minuman yang berkhasiat.

Vitamin B sememangnya diperlukan untuk menukarkan makanan kepada tenaga. Ia bertindak sebagai enzim yang membantu menghadamkan karbohidrat.

Begitupun, kandungan kafein dalam minuman tenaga boleh memberi masalah kepada mereka yang sensitif terhadapnya.

Golongan ini boleh mengalami kegelisahan, jantung berdebar, rengsa, sukar untuk tidur serta masalah penghadaman, walaupun hanya mengambilnya dalam jumlah yang sedikit.


FATIMAH ARSHAD


Apakah yang boleh terjadi jika mereka mengambil minuman tenaga tanpa kawalan?

"Bagi yang bimbang akan kesan stimulasi itu, minuman jenis ini boleh diambil sekali-sekala selain diselangi pengambilan banyak air tambahan.

"Di samping itu, mereka perlu memastikan pengambilan sumber khasiat daripada variasi makanan lain," terang Fatimah.

Namun, menurutnya, golongan pesakit diabetes perlu menghindarkan pengambilan minuman tenaga.

Kandungan gula dan glukosa dalam hidangan minuman tenaga ini boleh meningkatkan paras gula darah seterusnya membahayakan pesakit.

Hakikatnya, ramai golongan konsumer yang masih tidak tahu akan kesan kombinasi kandungan bahan dalam minuman tenaga.

Pada pandangan mereka, bahan lain yang disertakan dalam formula minuman tenaga dipercayai boleh bertindak secara sinergi dengan kafein bagi mencetus daya rangsangan.

Sebagai contoh, pada label sebuah jenama minuman tenaga yang terkenal di negara ini tertera kandungan taurina sejumlah 1,000 miligram.

Sebuah laporan kajian di Jerman mendapati bahawa jumlah darah yang dipam bagi setiap degup jantung meningkat ketara di kalangan mereka yang mengambil minuman gabungan taurina dan kafein.

Ini menunjukkan bahawa taurina memainkan peranan dalam penegangan otot dalam jantung dan juga sistem saraf keseluruhannya.

Selain taurina, minuman tenaga turut mengandungi vitamin B1, B2, B6 dan juga niasin. Ramuan tambahan lain adalah madu, inositol, piridoxin, riboflavin dan tiamin.


KOMBINASI minuman beralkohol dengan minuman tenaga yang begitu popular di bar dan kelab malam bertujuan mengurangkan simptom alkohol bagi yang meminumnya.


Menilai secara keseluruhannya, pakar diet walau bagaimanapun tidak menghalang pengambilan minuman tenaga ini, khususnya di kalangan mereka yang menjalani gaya hidup aktif.

Meminum satu atau dua tin sehari tidak membawa masalah kepada mereka.

"Cuma ia perlu dielakkan pesakit kencing manis manakala mereka yang mempunyai masalah jantung, pengambilan terkawal adalah disyorkan.

"Minuman ini hanyalah alternatif penambah tenaga. Bercakap tentang kalori ataupun tenaga yang diperlukan tubuh, ia masih boleh diperoleh dari banyak pilihan sumber makanan lain," ujar Fatima

Transformasi Adat Perpatih

Adat Perpatih secara tradisinya memberi keistimewaan kepada kaum Hawa dari sudut harta pusaka. Persoalannya, adakah ia masih utuh dipraktikkan dalam kalangan masyarakat Melayu di Negeri Sembilan?


YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Tuanku Muhriz Tuanku Munawar (kiri) menerima Mas Merah daripada Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Kelana Petra Mubarak Dohak.


ADAT Perpatih yang bermula 650 tahun lalu adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya ketika itu adalah petani.

Tiada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat itu mula diwujudkan. Namun, Adat Perpatih telah dibawa ke Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau sejak ratusan tahun lalu.

Di Malaysia, Adat Perpatih masih wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian penduduk di Melaka terutama di Naning, Alor Gajah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.

Menyelami prinsip Adat Perpatih, ia secara tradisinya memberi keistimewaan kepada kaum Hawa dari sudut harta pusaka khususnya tanah adat.

Mungkin kerana itu, ramai yang menganggap seolah-olah wujud wanita dari keluarga Adat Perpatih yang bersikap queen control sekiranya berkahwin dengan lelaki yang berasal dari negeri lain.

Kononnya segala harta pusaka milik suami akan diserahkan bulat-bulat kepada isterinya. Si suami pula harus tinggal di rumah isteri atau mentua.

Menjadi persoalan, adakah adat itu masih utuh dipraktikkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan biarpun negara telah mengalami perubahan zaman yang begitu drastik.


Dr. Shamsul Amri Baharuddin


Menurut Profesor Antropologi Sosial dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Adat Perpatih masih terus diamalkan oleh masyarakatnya tetapi ia kini telah mengalami perubahan mengikut arus zaman.

"Ia berubah dari segi bentuknya, tetapi isi atau prinsipnya masih kekal sehingga hari ini," itulah jawapan pertama yang dinyatakan beliau ketika ditemui Kosmo! di Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, Bangi baru-baru ini.

Antara prinsip Adat Perpatih yang masih kekal diamalkan adalah keturunan dikira melalui nasab ibu.

Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada kaum wanita yang dianggap bonda kandung, iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.

Prinsip yang kedua, bagi masyarakat yang tinggal di kampung mereka tinggal di kawasan ibu sebelah isteri.

"Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya untuk menetap di kampung atau kawasan ibu kepada isterinya sebagai orang semenda.

"Cuma, bagi mereka yang berhijrah di luar kawasan Negeri Sembilan, contohnya di Pahang, Kelantan atau Perlis, prinsip itu mengalami perubahan iaitu si ibu hendaklah tinggal bersama anak perempuan dan menantunya.

"Hal yang melibatkan pembahagian harta pula membabitkan anak perempuan mewarisi harta pusaka manakala anak lelaki menyandang saka. Ini adalah prinsip yang ketiga. Ia menjelaskan bahawa hanya anak lelaki yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala anak perempuan mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.

"Prinsip perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang tetapi orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku dan ini menjadi antara prinsip yang masih diamalkan masyarakat Negeri Sembilan," katanya merujuk kepada prinsip yang keempat dan kelima.

Shamsul Amri menjelaskan, apa yang dikatakan telah mengalami perubahan adalah dari segi penghijrahan tempat tinggal masyarakatnya. Ini menjelaskan sifat komuniti masyarakatnya tidak lagi bersemuka berbanding dahulu iaitu tinggal dalam satu kelompok atau satu kampung yang sama.

"Ramai dalam kalangan masyarakatnya, khususnya remaja telah berhijrah di negeri lain dan masing-masing memegang jawatan dan kerjaya sendiri.

"Ini bukan bermakna mereka mengabaikan Adat Perpatih, sebaliknya mereka dipengaruhi oleh aspek kehidupan moden Melayu pada hari ini.

Sementara itu, Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, adat itu masih diamalkan tetapi bilangan pengamalnya tidaklah sebanyak puluhan tahun lalu.

"Ia masih diamalkan tetapi tidaklah seperti 50 atau 30 tahun lalu. Kebanyakan yang mengamalkannya ialah mereka yang tinggal di tanah adat iaitu di kawasan yang mengamalkannya.

"Sekarang ini, penghijrahan ke banyak tempat adalah perkara biasa. Masing-masing sudah bebas dan menentukan hala tuju sendiri.

"Konsep adat berpegang kepada 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'. Apabila kita tidak lagi berada di dalam kawasan tanah adat, kita tidak lagi terikat dengan adat tersebut sebaliknya kita terikat dengan adat di kawasan yang kita duduki.

"Justeru, tidak timbul soal berhijrah lalu mengabaikan adat," katanya.

Beliau menjelaskan, adat sebenarnya tidak jumud dan ia bersifat dinamik. Perubahan boleh berlaku dengan syarat disepakati oleh semua pihak yang terlibat.

"Muafakat adalah ibu adat," tambahnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...