TREND MENGURANGKAN RASA BERDOSA(dari seorang kawan)

Saya benar-benar kebingungan. Bagi seorang yang hidup 11 tahun di
perantauan, kembali ke Malaysia di era seperti hari ini, memang
membingungkan. Semasa di Ireland, saya sudah mendengar tempias
American Idol yang sesekali menghiasi dada akhbar Irish Independent
dan lain-lain. Talk of the town kadangkala diisi dengan isu siapakah
yang sepatutnya mewakili Ireland ke acara Eurovision Contest yang
sememangnya tempat pertama pertandingan itu sinonim dengan penyanyi
dari Ireland zaman berzaman khususnya penyanyi seperti Johnny Logan.
Namun ia hanya acara biasa. Kerja-kerja harian orang ramai
berlangsung seperti biasa... tiada yang luar biasa.

Saya terkasima semasa bersiap-siap untuk pulang ke tanah air for
good, ketika membaca pengumuman nama Rais Yatim diberikan peranan
sebagai Menteri Kebudayaan kabinet Pak Lah yang baru. Hairan bin
Ajaib, apa yang saya kenal tentang Rais Yatim, menimbulkan tanda
tanya. Mengapakah seorang menteri yang begitu genius khususnya dalam
hal ehwal berkaitan undang-undang, tiba-tiba ditempatkan sebagai
menteri di sebuah kementerian yang menguruskan hal ehwal zapin dan
joget, pesta budaya dan orang filem Malaysia yang sering berbalah
sesama sendiri. Namun, kehairanan saya terjawab apabila saya membaca
temuramah bersama Rais Yatim oleh sebuah akhbar tempatan di bawah
tajuk "Berhenti MengArabkan Orang Melayu". Tegasnya, temuramah itu
menggambarkan misi Rais Yatim yang mahu mengembalikan semula
identiti Melayu yang padanya telah terpadam oleh proses Islamisasi
yang diterjemahkannya kepada proses Arabisasi. Antara budaya Melayu
yang mahu ditonjolkan kembali adalah budaya tari menari. Orang
Melayu tak mungkin dapat dipisahkan daripada tari menari kerana ia
telah mendarah daging di dalam tubuh kita, tegas beliau.

Nampaknya apa yang dinyatakan oleh beliau benar-benar terealisasi di
dalam masyarakat kita. Usahlah pergi jauh, kampung saya sendiri
telah terasa kesannya. Seingat saya, kali terakhir kampung saya
dihiruk-pikukkan oleh Joget Lambak ialah semasa saya masih di bangku
sekolah rendah. Itu bererti Joget Lambak telah pupus di kampung saya
semenjak 20 tahun yang lalu. Tetapi pupusnya Joget Lambak bukanlah
kerana kampung saya telah diArabkan seperti bangsa Sudan. Bangsa
Sudan membuang bahasa asli mereka dan mengambil sepenuhnya Bahasa
Arab sebagai bahasa pertuturan mereka. Kampung saya masih
pekat 'kome', 'mike' dan sambal belacannya. Namun yang pasti,
apabila masjid makin ramai yang datang, perempuan makin ramai yang
tutup aurat, emak ayah makin gemar menghantar anak ke kelas
fardhu 'ain, maka dengan sendirinya Joget Lambak terketepi dan
terhakis dari keMelayuan orang kampung saya. Tetapi saya kekal
sebagai salah seorang daripada beberapa orang anak kampung yang reti
Bahasa Arab.

Tetapi, selepas 11 tahun saya meninggalkan kampung, saya dikejutkan
dengan suatu pengalaman pahit di malam itu. Hanya beberapa ratus
kaki dari rumah saya, kenduri kahwin jiran yang siang tadi
diTahlilkan dan di'doa selamat'kan oleh Imam kampung, malam ni
berjoget terlambak-lambak. Berdentam-dentum dram dan gitar, anak-
anak muda terloncat-loncat dan lebih mendukacitakan saya, ia berlaku
bersebelahan masjid. Aduh... gelisah saya sepanjang malam di samping
anak-anak saya yang tidak boleh tidur akibat kebisingan mereka yang
berlanjutan hingga ke tengah malam. Walaupun anak saya lahir di
bandar yang penuh orang mabuk dan saling berbunuhan sesama sendiri
(di Belfast), namun fitrahnya masih merintih kedamaian yang
dibunuh 'orang kahwin' malam itu.

RAKYAT KETAGIH HIBURAN

Fenomena hiburan melampau sememangnya menakutkan saya. Kalau di
Ireland, rancangan realiti TV mencari bakat baru berlangsung satu
demi satu, tetapi di Malaysia, lima program berjalan serentak. Ada
untuk remaja, ada untuk kanak-kanak, ada untuk ibu bapa dan ada juga
untuk orang tua yang sudah senja. Lagu-lagu lama muncul kembali
supaya jiwa rakyat yang hari ini telah beruban, terusik kembali
untuk mengenang zaman remaja mereka di taman-taman bunga. Semua
berhibur, semua berkhayal dan semua terbang ke cloud nine masing-
masing.

Iklan mesti menghiburkan, pendidikan mesti menghiburkan, ring tone
telefon bimbit juga mesti berlagu hiburan, malah ceramah agama juga
mesti ada unsur hiburan. Mana-mana agenda yang tiada unsur hiburan
dengan sendirinya terpinggir. Kehidupan masyarakat kita
sudah 'entertainment centered'. Segala keperluan hidup diarahkan
kepada hiburan malah wang yang dicari dengan penat lelah, amat mudah
ditaburkan kepada sms demi memenangkan idola masing-masing. Akhirnya
terhibur menjadi tujuan hidup! Mana-mana yang tidak menghiburkan,
tiada makna dan tiada nilai.

Namun, mungkin akibat desakan kemahuan Islam yang masih ada nyawa,
suara-suara menegur masih kedengaran walaupun tidak begitu
diendahkan. Mufti berfatwa, pendakwah menegur, pemimpin mengeluh.
Namun untuk berundur daripada dunia hiburan, jiwa sudah ketagihan.
Bagai penagih yang keluar masuk pusat serenti, begitulah rakyat yang
sudah ketagih hiburan. Sembahyang, sembahyang juga. Tapi kemudian
kembali berhibur. Tarian dan lagu-lagu pathetic terus didendangkan,
namun nama-nama Tuhan diselitkan jua. Akhirnya muncullah suatu trend
baru dalam masyarakat kita di mana Islam menjadi kosmetik paling
murah tapi laku.

Persoalannya, salahkah berhibur? Tentu tidak salah... namun hiburan
yang bagaimana? Mentor saya memberikan analogi yang menarik.
Katanya, nasyid umpama iklan. Iklan yang berkesan adalah iklan yang
berjaya meningkatkan penjualan produk. Tetapi jika yang dikenang
hanyalah iklan dan kecantikan paras rupa modelnya, sedangkan
barangan tidak terjual malah tersisih dari pasaran, maka iklan itu
sudah tersasar. Produk yang diiklankan, pelakon iklan yang naik
saham!

Nasyid menjadi wadah 'mempromosikan' Islam dengan citarasa yang
kontemporari. Nasyid bertujuan 'memperkenalkan' Tuhan. Namun bagi
yang mendengar nasyid cintan cintun dan rap sampah sarap hari ini,
berapa ramai yang 'membeli' Tuhan? Adakah cinta kepada Ilahi
meningkat selepas menghayati nasyid seperti itu? Walaupun ada
penyanyi wanita tergamak mengheret jubah dan tudung ke pentas tari
menari, atau yang lelaki menyelitkan kalimah-kalimah Arab di celah
caca merba nyanyiannya itu, persoalannya yang manakah yang laku?
Adakah Islam semakin laku? Adakah Tuhan semakin dibesarkan? Amat
pelik, jika nasyid itu kononnya mempromosikan Islam tetapi Islam
tetap tidak laku di pasaran. Jika ia sebuah iklan, maka nasyid hari
ini menjadi contoh iklan yang tidak berkesan. Iklan laku, barang tak
laku. Nasyid laku, Tuhan tetap terpinggir dan dilupakan.

APAKAH SEMUA INI?

Inilah soalan yang membingungkan saya. Kita melihat bagaimana
menyebut kalam-kalam iman seperti Insya Allah, Alhamdulillah,
Syukur, Ameen dan lain-lain sudah menjadi seperti adat. "Semoga
Tuhan memurahkan rezeki saya dalam bidang ini!", Tuhan mana yang
mengurniakan kemurahan rezeki dalam bentuk maksiat dan kebinasaan
jati diri? Kepada Tuhan manakah, si artis tadi berdoa? Habis, apa
ertinya mereka yang berpenat lelah melawan hawa nafsu dan syaitan
dalam kehidupan sedangkan dalam keadaan menaja maksiat, Tuhan masih
mengurniakan kemurahan rezeki? Saya masih ingat bagaimana salah
sebuah kumpulan ditemuramah oleh televisyen tentang rahsia kejayaan
dan keyakinan diri mereka. Mereka menjelaskan bahawa mereka ada
sejenis meditation. Apabila diminta membuat demonstrasi, mereka yang
terdiri daripada beberapa lelaki dan seorang perempuan berpegangan
tangan membentuk bulatan dan... AL-FATIHAH! Selepas itu ketua
kumpulan membacakan doa sambil menadah tangan, memohon supaya Allah
melindungi band mereka dari kekalahan dan mala petaka bahaya.
Terpegun saya menontonnya. Wartawan tersebut pula mengucapkan syabas
kerana walaupun kumpulan tersebut menyanyikan lagu kontemporari dan
moden, tetapi masih tidak lupakan agama!

Bingung saya memikirkan hal ini. Apakah sebenarnya kefahaman mereka
tentang Islam? Adakah mereka benar-benar memaksudkan bahawa Allah,
Tuhan Muhammad, Tuhan Abu Bakr, Tuhan Imam Syafie, adalah Tuhan yang
sama boleh mengurniakan keredhaanNya kepada acara henjut-henjut
mereka di dalam konsert tersebut? Apakah pelajar-pelajar Akademi
Fantasia benar-benar percaya bahawa di alam bukan Fantasia, Allah
SWT telah menghalalkan perlakuan mereka hanya kerana sebelum
jamming, mereka memberikan salam? Seperti orang yang makan daging
yang unknown, baca sahaja Bismillah dan baham! Lantaklah daging tu
babi ke atau lembu mati dilanggar kereta, yang penting tadi
Bismillah telah dibaca. Err... saya benar-benar kebingungan.

Akhirnya, saya sampai kepada suatu kesimpulan. Saya terkenangkan
kepada hadith riwayat Huzaifah, bahawa Nabi Muhammad SAW telah
memperingatkan bahawa di akhir zaman, kebenaran itu masih bertahan
tetapi bezanya dengan Islam di zaman silam ialah, Islam di akhir
zaman ini berdebu, samar-samar dan berasap. Jika realiti di akhir
zaman ini begitu, ini bererti Islam tidak boleh dinilai dengan
pandangan mata biasa kerana di dalam suasana yang berdebu lagi
berasap, dua biji mata di kepala ini akan kemerah-merahan, kabur,
berair dan kelam penglihatannya.

Sesungguhnya yang perlu dicelikkan demi mencari kebenaran di akhir
zaman, adalah mata hati! Hati telah kenal Tuhan kerana dia datang
dari Tuhan. Dia tahu di mana nilai kebenaran. Sebab itu Nabi
Muhammad SAW menyuruh kita meminta pandangan hati dalam menilai
kebenaran. Dosa itu adalah apa yang mendatangkan keresahan di hati
dan kebaikan pula mententeramkan jiwa. Asalkan hati itu bersih, ia
akan meilhat dengan pandangan Allah. Pandangan Allah itu adalah
world view yang berasaskan tauhid. Tauhidic Mindset itu adalah suatu
pandangan yang menilai kehidupan ini berasaskan pandangan Tuhan. Apa
yang baik di sisi Allah, baiklah padanya, dan apa yang keji di sisi
Allah, kejilah terhadap dirinya. Hakikat ini tidak dapat dicapai
oleh mata kasar, namun yang perlu disuburkan adalah pada mata di
hati yang kenal Tuhan dan tahu ke mana ia patut pergi.

Oleh yang demikian, adanya rap dan pop yang dinasyidkan, adanya
penari dan penyanyi yang bertudung dan berjubah, adanya juara
Akademi Fantasia yang berlatar belakangkan agama, hanyalah kosmetik
Islam. Kita masih mahu berhibur tetapi kita sedar yang kita sudah
terlalu terhibur. Kita sedar hiburan kita sekarang adalah dosa. Maka
dengan adanya kosmetik Islam tersebut ia dapat mengurangkan rasa
berdosa. Sama seperti seorang artis yang pergi umrah. Menangis-
nangis di depan Kaabah dan kemudian balik ke KL berdansa semula.
Namun diceritakan kepada wartawan perasaannya semasa berumrah itu.
Sedangkan tidak sedikit pun kemungkarannya yang ditinggalkan. Namun,
dengan menggunakan hasil nyanyian itu untuk mengerjakan umrah, ia
dapat mengurangkan rasa berdosa tersebut. Sama juga seperti orang
yang menyamun harta orang lain, menipu dan menindas, kemudian
sedekah sedikit hasil kerjanya itu kepada rumah kebajikan. Kurang
sedikit rasa berdosa.

Sedangkan apa yang saya belajar, apa yang Imam al-Ghazali tegaskan
di dalam pengajarannya ialah: Membuat sesuatu yang tujuannya adalah
untuk sekadar mengurangkan rasa berdosa sedangkan diri masih
dibiarkan bergelumang dengan dosa, adalah DOSA YANG PALING BERDOSA!

1 comment:

Anonymous said...

terima kasih. memang benar sekali apa yang diperkatakan. Trend ini semakin merebak nampaknya dan digemari. Suatu artikel yang baik utk dijadikan renungan bersama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...